Puspakom Sedia Khidmat Percuma Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR 6 Feb.– Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan secara percuma sempena perayaan Tahun Baharu Cina bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam kalangan pengguna.

 

Ketua Perkhidmatan Gerak Primier Puspakom, Ir. Mohd. Yuza Mohd. Yusoff berkata, kempen tersebut turut dijalankan serentak di semua 55 cawang­an Puspakom di seluruh negara bermula esok sehingga 14 Februari ini.

 

Menurut beliau, kempen itu me­rupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menggalakkan masyarakat mengambil berat mengenai penjagaan kenderaan sebelum pulang ke kampung.

 

“Fokus yang diberikan untuk kempen kali ini adalah road ­worthiness of the vehicle iaitu memberi tumpuan kepada aspek keselamatan seperti kecekapan sistem brek, gelincir sisi dan juga keadaan tayar.

 

“Semua pemandu perlu memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik supaya dapat menjamin keselamatan dan juga keselesaan ketika pulang ke kampung,” katanya dalam program pemeriksaan kenderaan secara percuma di Kompleks Sri Utusan Bangi dekat sini hari ini.

 

Lebih 40 kenderaan kakita­ngan Kumpulan Utusan menjalani pemeriksaan yang dikendalikan 15 kakitangan Puspakom menggunakan kelengkapan mudah alih yang dikenali sebagai transverse.

 

Sementara itu, Mohd Yuza berkata, transverse yang menggunakan teknologi Perancis itu mempunyai keupayaan dan fungsi sama seperti di cawangan utama Puspakom di seluruh negara. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.