Polis Buru Nuar Ayam, Bantu Siasatan Kes Bunuh

Kota Bharu –  “Dia memang paling dikehendaki dan licik melakukan jenayah,” kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim mengulas mengenai seorang daripada tiga suspek kes samun bersenjata di Kampung Beris Lalang, Bachok, kelmarin, yang berjaya dikenal pasti polis.

 

Suspek itu, Anuar Mohammad, 37, atau lebih dikenali sebagai Nuar Ayam dipercayai dalang utama kejadian berkenaan yang mengakibatkan kematian seorang peniaga berusia 52 tahun manakala anak perempuannya berumur 18 tahun cedera.

 

Mazlan berkata, suspek itu diklasifikasikan sebagai berbahaya kerana bersenjata api dan mempunyai empat rekod jenayah lampau dengan kebanyakan kes samun.

 

“Usianya 37 tahun, mempunyai ketinggian 164 sentimeter, berkulit sawo matang dan bertubuh gempal dengan berat sekitar 74 kilogram.

 

“Kami sudah lama memburu dia yang terbabit dalam beberapa kes jenayah terutama samun bersenjata, namun dia sangat licik dan sukar dikesan.

 

“Empat rekod jenayah lampaunya membabitkan masing-masing satu di Bunut Susu dan Bachok, manakala dua lagi di Shah Alam, Selangor iaitu samun dan rogol. “Dia memang dikehendaki di Kelantan dan Selangor,” katanya dalam sidang media di Mes Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

 

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, dalam kejadian kelmarin, semua suspek menggunakan dua laras senjata api dipercayai pistol dan satu parang serta menggunakan topeng bagi mengelakkan wajah mereka dikesan.

 

Katanya, mereka hanya sempat melarikan wang tunai kira-kira RM1,000 dan berlalu pergi menggunakan kereta jenis Proton Preve berwarna hitam selepas melepaskan tiga tembakan.

 

“Mereka bergerak dalam kumpulan dan kita berusaha keras memburu mereka bagi menyelesaikan kes itu. Tiada jalan keluar untuk mereka,” katanya.

 

Mengenai mangsa yang cedera, beliau berkata, remaja terbabit dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, dekat sini. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.