Penyertaan LIMA’15 Bertambah – Tun M

Langkawi – Peningkatan penyertaan dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2015 (LIMA’15) berbanding sebelum ini dapat dijangkakan, berikutan kemerosotan ekonomi dunia.

 

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dalam keadaan ekonomi dunia sekarang, kebanyakan syarikat atau negara akan meningkatkan lagi aktiviti mempromosikan barangan mereka kepada pembeli-pembeli dari negara lain.

 

“Jadi, bagi mereka, LIMA ini memberi peluang kepada mereka mempamerkan barangan mereka, termasuk barangan ketenteraan, dengan harapan pelawat-pelawat yang akan datang dari negara-negara jiran (untuk melihat dan membeli produk-produk pameran),” katanya selepas merasmikan Muzium 3D Art of Paradise Langkawi, di Oriental Village, hari ini.

 

Malaysia telah mendapat manfaat daripada penganjuran LIMA, khususnya dalam perkembangan industri penerbangan negara.

 

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, jumlah syarikat yang menyertai LIMA’15 bertambah kepada 502 buah, berbanding 433 syarikat yang dicatatkan pada 2013.

 

Penyertaan negara turut bertambah daripada 31 negara pada LIMA’13, kepada 36 negara tahun ini dan ini turut melibatkan penyertaan Jepun buat julung kalinya, sejak negara itu melonggarkan dasar eksport produk pertahanannya.

 

Selain itu, negara besar seperti China juga telah menambah keluasan ruang pameran daripada 60 meter persegi kepada 219 meter persegi tahun ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.