Malaysia Bukan Lawan Mudah – Sompron

Melaka – Jurulatih Thailand, Sompron Sunyabut menyifatkan Malaysia bukan lawan mudah dikalahkan, pada perlawanan akhir kategori lelaki Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf Malaysia 2015, esok.

 

Beliau berkata, gandingan pemain Malaysia nampak lebih mantap dan berbahaya, berbanding pasukan yang menyertai Sukan Asia ke-17 tahun lalu.

 

Namun, katanya, itu tidak bermakna Thailand gentar dengan cabaran Malaysia.

 

“Saya anggap peluang adalah 50-50, tetapi dengan sokongan penonton tempatan, Malaysia mempunyai kelebihan.

 

“Namun, Thailand akan bertarung dan melakukan yang terbaik untuk memenangi kejohanan,” katanya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, hari ini.

 

Dalam perlawanan separuh akhir hari ini, Thailand mengalahkan Singapura 2-0 (21-13 dan 21-13) dan Malaysia mengalahkan Korea Selatan juga 2-0 (21-11 dan 21-12) untuk layak ke perlawanan akhir.

 

Sementara itu, jurulatih Malaysia, Abd Talib Ahmad berkata, keserasian dan disiplin tinggi yang ditunjukkan pemain negara, merupakan faktor utama prestasi cemerlang pasukan Malaysia di kejohanan ini.

 

“Namun, kita tidak boleh mendabik dada, walaupun telah capai sasaran ke perlawanan akhir. Kita akan lakukan yang terbaik, bagi memberikan hadiah juara kejohanan kepada penyokong yang tidak jemu memberikan sokongan kepada kita,” katanya.

 

Kapten pasukan negara, Farhan Adam berkata, prestasi pasukan Malaysia agak setara dengan prestasi Thailand dan berharap Malaysia dapat mengekalkan prestasi itu di perlawanan akhir, esok.

 

“Saya tidak sangka dapat laluan agak mudah ke final, bila menang semua perlawanan straight set. Tetapi kita tidak boleh leka dengan cabaran Thailand.

 

“Saya harap dapat sokongan berterusan daripada penonton esok, untuk memberikan semangat kepada kami menentang Thailand,” katanya.

 

Dalam pada itu, Thailand turut mendominasi perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf Malaysia 2015 kategori wanita.

 

Di peringkat separuh akhir, Thailand mudah menewaskan Korea Selatan 2-0 (21-11 dan 21-10).

 

Pada perlawanan akhir esok, mereka akan menentang Vietnam yang mengalahkan Myanmar 2-1 (21-19, 21-23 dan 21-13). – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.