Makmal Proses Dadah Diserbu

SHAH ALAM – Dua makmal memproses dadah diserbu Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting), Bukit Aman di Pangsapuri di Sungai Pinang dan Jalan Gangsa, Khamis lalu.

 

Kejayaan itu diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun Twitternya dan mengucapkan tahniah kepada pasukan Sting atas kejayaan tersebut.

 

“Syabas STING@PDRMsia baru saja berjaya bongkar makmal dadah, tangkap empat orang di Sungai Pinang, Penang, rampas 103kg heroin dan bahan proses heroin,” kata Khalid.

 

Difahamkan sidang akhbar mengenai pembongkaran makmal dadah itu akan berlangsung hari ini, di Pulau Pinang.

 

Menurut sumber polis, serbuan ke tiga lokasi itu dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang.

 

Katanya, serbuan jam 2 petang telah menyerbu sebuah unit pangsapuri di Sungai Pinang dan empat individu berjaya ditahan.

 

“Susulan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun itu, pasukan berkenaan menyerbu sebuah lagi unit kediaman di pangsapuri sama yang dijadikan makmal dadah.

 

“Rumah pertama yang diserbu adalah lokasi mereka tinggal dan kediaman kedua dijadikan tempat memproses dadah. Pasukan berkenaan berjaya merampas sejumlah dadah jenis heroin di situ,” katanya.

 

Barangan lain yang turut dirampas ialah peralatan yang dipercayai diguna untuk memproses dadah termasuk serbuk kimia kafein, pencair, klorofom, cecair kimia, asid sulfamik, ketuhar gelombang mikro, plat panas elektrik dan bahan tampal.

 

Difahamkan, polis turut menyerbu sebuah lagi unit pangsapuri di Jalan Gangsa yang juga dijadikan makmal memproses dadah oleh kumpulan sama.

 

“Polis turut merampas dadah dan pelbagai barang memproses dadah di rumah berkenaan. Dipercayai tiga buah rumah itu disewa oleh sindiket memproses dadah berkenaan sejak beberapa bulan lepas,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.