Ku Nan Lancar Kenduri 1Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur – Pelaksanaan program-program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2015 adalah berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini seiring dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai inisiatif penjimatan perbelanjaan negara baru-baru ini.

 

Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan pihak Kementerian dan Agensi hanya menganjurkan program SHWP 2015 yang memberikan impak yang tinggi dan melibatkan rakyat secara terus seperti program tanggungjawab sosial masyarakat (CSR), Kenduri 1 Wilayah Persekutuan, Majlis Tahlil dan Doa Selamat, Konvoi Berbasikal 1Wilayah Persekutuan dan sebagainya.

 

Beliau berkata demikian pagi ini, di hadapan 10 ribu hadirin, ketika melancarkan program Kenduri 1 Wilayah Persekutuan di Putrajaya pagi tadi, sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2015 pada 1 Februari lalu.

 

 

Menurut beliau, kenduri 1Wilayah Persekutuan telah dimasukkan di dalam kalendar acara tahunan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2015 bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara warga Wilayah Persekutuan selain dapat bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti gotong royong.

 

Dalam majlis yang sama Tengku Adnan turut menjelaskan pemilihan tema sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini “WilayahKu Ceria” adalah seiring dengan aspirasi Kementerian Wilayah Persekutuan yang ingin menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar yang ceria dalam aspek persekitaran yang bersih serta indah; kemudahan perumahan yang kondusif; sistem pengangkutan yang sistematik dan seterusnya meningkatkan produktiviti masyarakat Wilayah Persekutuan ke tahap maksimum.

 

“Pemilihan tema WilayahKu Ceria turut merangkumi elemen sense of belonging yang perlu dibudayakan di kalangan warga Wilayah Persekutuan khususnya dalam aspek keharmonian, perpaduan dan kerjasama bagi menyokong serta merealisasikan Wilayah Persekutuan berkembang maju.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.