Kesedihan Seorang Isteri Terubat

KUALA KRAI – Kesedihan seorang isteri memikirkan nasib suami yang baharu dipotong kaki akibat kencing manis sedikit terubat apabila dikunjungi sekumpulan 50 sukarelawan di rumahnya di Slow Bedal, dekat sini, semalam.

 

Lawatan ke rumah Kelsom Jamil, 54, sempena misi bantuan banjir itu disertai sukarelawan Kelab Sukan Permotoran 4×4 Lipan Bara dan pelajar Kolej Polytech Teknologi Mara (KPTM) Lembah Sireh.

 

Walaupun lawatan dibuat mengejut, Kelsom yang tidak mampu bergerak akibat serangan angin ahmar nampak tenang dan gembira apabila seorang demi seorang sukarelawan masuk dan bersalaman dengannya.

 

Kegembiraan Kelsom bagaimanapun tidak dapat dikongsi bersama suaminya, Ramli Mohd Ariffin, 55, yang kini berada di Hospital Kuala Krai (HKK) kerana kaki kanannya dipotong akibat kencing manis, kelmarin.

 

Kisah Ramli terlantar akibat penyakit saraf, manakala Kelsom pula mengalami nasib sama akibat serangan angin ahmar, pernah mendapat liputan akhbar ini pada akhir 2012 dan awal 2013 lalu.

 

Susulan laporan itu, beberapa pihak tampil membantu termasuk Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meluluskan bantuan bulanan untuk Ramli.

 

Mengenai lawatan itu, Setiausaha kelab itu, Wan Shuhairi Wan Daud berkata, itu kunjungan ketiga pihaknya ke atas pasangan suami isteri itu selepas kunjungan pertama, akhir tahun lalu.

 

“Semasa keluar masuk kampung dalam misi bantuan banjir, kami dapati pasangan suami isteri ini terpinggir daripada menerima bantuan dan kami juga agak terkejut dengan keadaan kesihatan kedua-duanya.

 

“Pada lawatan pertama, kami kenal pasti keperluan, manakala pada kunjungan kedua, kita bawa sumbangan tilam, selimut dan bantal untuk mereka hasil sumbangan ahli kelab,” katanya, semalam.

 

Turut hadir, seorang pensyarah KPTM, yang juga Ketua Skuad Bantuan Sukarelawan kolej berkenaan, Mohamed Rusli Mohd Salleh bersama 30 sukarelawan dalam kalangan pelajar.

 

Menurut Wan Shuhairi, sempena lawatan kali ketiga itu, pihaknya bekerjasama dengan KPTM bagi membantu mengemas rumah pasangan suami isteri terbabit.

 

“Kita juga bawa bersama beberapa kelengkapan rumah untuk mereka seperti dua katil, meja makan, rak pakaian, rak pinggang mangkuk, dapur dan cerek elektrik.

 

“Untuk kemas rumah, kita tinggalkan enam sukarelawan KPTM, manakala selebihnya akan bersama anggota kelab pada gotong-royong cat surau di Taman Melati, dekat bandar Kuala Krai,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.