Kerjasama ASEAN Mampu Tangani Ancaman IS Dengan Lebih Berkesan

Kuala Lumpur – Negara ASEAN mempunyai peluang lebih baik untuk menangani ancaman kumpulan militan IS jika kerjasama kukuh dapat dijalinkan antara kesemua 10 negara anggotanya.

 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini kerana pergerakan kumpulan militan itu dipercayai merentasi negara Asean, sama ada sebagai negara destinasi mahupun transit.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keyakinan negara dalam menangani ancaman kumpulan militan itu pada sidang media selepas merasmikan Simposium Kepimpinan dan Aspirasi Negara (NALS) ke-3, di sini hari ini.

 

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

 

Mengulas lanjut, Hishammuddin menegaskan walaupun ancaman kumpulan IS sukar untuk disekat, namun keselamatan negara dalam keadaan terkawal.

 

“Kita mengamalkan dasar langit terbuka, penerbangan murah dan maklumat boleh menular merentasi sempadan, jadi sukar untuk kita kawal pergerakan orang, duit atau ideologi,” katanya membandingkan insiden keganasan yang berlaku di Paris, Perancis dan Sydney, Australia baru-baru ini.

 

“Kalau Paris dan Sydney yang punya kecanggihan sistem maklumat, aset dan dengan sejarah kemampuan angkatan tentera, polis mereka pun masih susah nak tangani, bayangkan keadaan kita yang serba kekurangan,” katanya.

 

Terdahulu dalam sesi soal jawab bersama kira-kira 1,500 belia yang hadir, Hishammuddin menegaskan pentingnya kumpulan belia menyedari ancaman kumpulan militan seperti IS sebagai langkah mengelak diri dari terjerumus dalam pergerakan yang tidak sepatutnya.

 

“Anda perlu sedar tentang ancaman itu dan apa yang sedang berlaku di hadapan kita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.