Jangan Mereka Hendak Bermain Api Dengan Saya

Putrajaya -Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menyelar sikap ‘dalang’ yang mengambil kesempatan meracuni pemikiran peniaga Pasar Keramat agar tidak berpindah ke kompleks perniagaan Keramat Mall.

 

Beliau berkata, dalang ini yang terdiri dalam kalangan peniaga serta orang luar itu cuba menimbulkan kebencian kepada lebih 200 peniaga agar tidak berpindah ke Keramat Mall, dengan dakwaan tempat itu tidak menerima sambutan
pengunjung.

 

“Saya kenal peniaga yang menjadi dalang. Mereka (dalang) ada agenda atau minat tertentu sehingga menukar minda para peniaga untuk bertindak. Dalang ini ada lapan hingga sembilan tapak.

 

“Apabila kementerian buat rasionalisasi, mereka dapat satu sahaja. Jangan mereka hendak bermain api dengan saya. Saya tegas dalam soal memberi keselesaan kepada peniaga dan pembeli, serta menjaga kebersihan,” katanya ketika diminta mengulas bantahan peniaga Pasar Keramat, Jalan Datuk Keramat untuk berpindah ke Keramat Mall.

 

Pada Khamis lepas, 320 peniaga Pasar Keramat yang membuat bantahan enggan berpindah ke kompleks perniagaan Keramat Mall merayu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam menyelesaikan kemelut itu.

 

Mereka yang mewarisi perniagaan di Pasar Keramat sejak 38 tahun lalu dan majoritinya kaum Melayu, tidak rela dipindahkan ke Keramat Mall yang disifatkan ’mati’ ekoran tidak menerima sambutan pengunjung.

 

Tengku Adnan menjelaskan tujuan peniaga dikehendaki berpindah ke Keramat Mall disebabkan Pasar Keramat telah menjadi antara lokasi sarang pembiakan tikus terbanyak, selain Pasar Chow Kit dan Pasar Pudu.

 

Mengenai dakwaan sambutan kurang, beliau berkata pihaknya menyediakan mini Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kompleks itu.

 

“Pada mulanya, para peniaga mendakwa Keramat Mall ini terlalu moden. Oleh itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersetuju membangunkan tapak di bawah pusat perniagaan seperti dikehendaki mereka. Tetapi mereka masih degil,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.