Ismail Sabri Sedia Berdepan Saman Ngeh

Kuala Lumpur – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersedia untuk berdepan dengan tindakan saman oleh Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham selepas tempoh memohon maaf itu tamat.

 

“Saya bersedia untuk menghadapi saman itu dan kita jumpa di mahkamah.

 

“Tidak perlu untuk meminta maaf kepadanya,” katanya kepada media selepas menjadi panel kepada forum ‘Keuntungan Orang Tengah, Sahih Atau Sabotaj’ di Akademi Kepimpinan Kapten Hussein, di Kelana Jaya di sini, pada Jumaat.

 

Beliau berkata, tindakan saman itu adalah hak Ngeh dan beliau bersedia untuk menghadapinya.

 

Pada 3 Februari lalu, Ngeh mencabar Ismail untuk memohon maaf kerana menuduhnya dan keluarga sebagai anti-Islam.

 

Berikutan tiada permohonan maaf yang dibuat dan kenyataan Ismail untuk memboikot perniagaan orang Cina, Ngeh mengarahkan peguamnya  memfailkan saman terhadap Ismail.

 

Sementara itu, berhubung kewujudan sebuah akaun facebook ‘Boikot Barangan Cina DAP Ori’ hari ini, Ismail berkata itu adalah tindakan individu dan pengguna serta tidak ada kaitan dengannya.

 

Menurutnya, beliau hanya memberi saranan dan terpulang kepada pengguna untuk memboikot atau sebaliknya.

 

“Pengguna  tidak boleh terus mengharapkan kerajaan untuk melindungi hak mereka dengan keadaan harga mereka yang meningkat.

 

“Pengguna perlu menggunakan kuasa mereka untuk menentukan harga kerana pengguna adalah majoriti dan peniaga adalah minoriti,” katanya.

 

Beliau berkata, peniaga yang ingkar untuk menurunkan harga barangan tidak mengira kaum tidak akan terlepas daripada undang-undang. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.