Guan Eng Tiada Hak Tentukan Kehadiran Saya Di Mesyuarat PR – Hadi

Kuala Terengganu – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan mengesahkan sama ada beliau akan hadir pada mesyuarat MAjlis Presiden Pakatan Rakyat (MPPR) Ahad ini.

 

Hadi turut membidas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kerana mengugut mahu memulau mesyuarat Pakatan Rakyat sekiranya beliau (Hadi) tidak hadir mesyuarat itu.

 

“Dia (Guan Eng) tidak berhak menentukan saya hadir atau tidak hadir, terpulang kepada saya nak hadir ke tak hadir. Saya bukan anak murid sekolah. Kita tengok dululah.

 

“Tengok hari mesyuarat inilah saya hadir ke tidak hadir. Saya tak bergantung dengan sesiapa saya nak hadir,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di kediamannya Kampung Rusila, hari ini.

 

Hadir sama ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

 

Guan Eng sebelum ini berulang kali mendesak PAS memberikan jaminan bahawa Hadi menghadiri mesyuarat Pakatan Rakyat.

 

Beliau menuduh PAS sebagai sering menukar keputusan atau janji kepada gabungan pembangkang itu apabila Hadi mewakilkan pemimpin lain untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

 

Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan bermesyuarat Ahad ini selepas tujuh bulan setelah dibelit pelbagai perbalahan dalaman khususnya membabitkan DAP-PAS.

 

Hadi turut menafikan dakwaan beliau banyak kali tidak hadir ke mesyuarat berkenaan berbanding dengan pemimpin PR yang lain.

 

Bahkan, kata beliau pihak terbabit boleh melihat rekod kehadiran ahli-ahli mesyuarat majlis berkenaan bagi menentukan kebenaran dakwaan Guan Eng.

 

“Cuma saya rasa bangga, saya lebih banyak hadir mesyuarat dari Lim Guan Eng, kecuali (ketika) saya sakit dulu,” tegas beliau.

 

“Mesyuarat PR, masa saya jadi Menteri Besar Terengganu pun saya hadir tiap-tiap kali mesyuarat. Saya tidak sibuk macam Ketua Menteri dan jika sibuk pun saya mesti hadir untuk mesyuarat Pakatan Rakyat,” kata Hadi.

 

“Kalau kata saya banyak tak hadir mesyuarat itu tak betul, kena ‘check’ kehadiranlah siapa paling banyak tidak hadir mesyuarat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang, sekali lagi menuding jadi kepada Guan Eng.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.