Dakwa Polis Bersubahat Dengan Pengedar Dadah, KPN Arah Siasat Gobalakrishnan

Kuala Lumpur – Polis akan memanggil bekas anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya dalam akaun twitter miliknya semalam yang didakwa memburuk-burukkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi status akaun twitternya pada Sabtu menyifatkan kenyataan itu sebagai satu tohmahan yang serius kepada pasukan polis dan pihaknya akan melakukan siasatan terhadap perkara tersebut.

 

“Ini satu tohmahan yang serius terhadap @PDRMsia Pg. Kita akan siasat. @Ngobalakrishnan akan dipanggil bantu siasatan,” katanya.

 

Gobalakrishnan menerusi akaun twitter ‘Ngobalakrishnan’ mendakwa terdapat anggota polis berbangsa India di Pulau Pinang yang melindungi Geng 04 melakukan aktiviti pengedaran dadah.

 

“Terdapat beberapa pegawai polis India di Pulau Pinang memberi perlindungan kepada Geng 04 yang terlibat dalam kegiatan mengedar dadah,” katanya dalam laman twitternya yang dikemas kini kira-kira 5.29 pagi semalam.

 

Geng 04 adalah antara 46 kumpulan kongsi gelap yang aktif dan bahaya di negara ini yang terlibat dalam aktviti pengedaran dadah dan beberapa jenayah berbahaya membabitkan penggunaan senjata api dan senjata tajam di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan juga Kuala Lumpur.

 

Kumpulan Geng 04 yang turut dikenali sebagai Tiram Sasi di Johor, Sungai Way Sugu (KL), Green Line Samy (Pulau Pinang), Prai Bala (Pulau Pinang), Langkap Sasi (Perak), Selvam (Batu Gajah), Ragu (Ayer Tawar) dan Sudha (Sitiawan).

 

Sementara itu, Gobalakrishnan yang dihubungi Bernama mengesahkan akaun twitter ‘Ngobalakrishnan’ miliknya namun enggan mengulas lanjut perkara tersebut.

 

“Memang benar saya ada ‘tweet’ perkara tersebut dan mungkin akan dipanggil (polis),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.