Cop Duit Sendiri

Kuala Lumpur – Seorang banduan yang baru dibebaskan lima bulan lalu kerana terbabit sindiket pemalsuan wang tidak serik apabila kembali aktif melakukan jenayah itu dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan penjual gajet dalam talian.

 

Lelaki berusia 37 tahun itu berjaya ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama dua rakan sejenayahnya masing-masing berusia 33 dan 60 tahun di sebuah rumah di Taman Abadi Indah, Jalan Klang Lama kira-kira jam 10 malam pada 24 Januari lalu.

 

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata, sindiket berkenaan bukan saja menggunakan wang palsu RM100 untuk membuat pembelian gajet yang diiklankan dalam laman web mudah.com.my, malah mereka dikesan mencetak wang berkenaan sejak tiga tahun lalu.

 

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui ratusan keping wang palsu RM100 bernilai RM16,000 bersama pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencetak dan membuat wang palsu seperti pengering rambut, kertas A4, pembaris, mesin pencetak dan warna,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

 

Katanya, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila seorang daripada suspek gagal mendepositkan wang sebanyak RM1,380 ke dalam akaun penjual telefon bimbit terpakai model iPhone 5S melalui mesin deposit tunai (CDM).

 

“Suspek berjumpa dengan penjual telefon itu di sebuah bank di Taman Midah untuk membuat bayaran secara tunai.

 

“Mangsa yang juga pelajar sebuah kolej swasta meminta suspek memasukkan wang ke dalam akaunnya melalui mesin CDM namun hanya RM80 berjaya diterima mesin meskipun dicuba berulang kali,” katanya.

 

Katanya, susulan kejadian itu, mangsa yang mencurigai suspek tampil membuat aduan di bank berkenaan sebelum disahkan wang berkenaan adalah palsu.

 

Law berkata, ekoran laporan berkenaan, sepasukan polis melalui operasi khas kemudiannya ‘memancing’ mangsa datang ke bank berkenaan untuk membuat jual beli telefon bimbit yang sama sekali lagi dan berjaya memberkas suspek.

 

“Wang kertas yang digunakan suspek berkualiti tinggi dan dikatakan 90 peratus menyamai wang kertas tulen, malah mesin CDM bank juga mampu menerima wang berkenaan tanpa dapat mengesan ketulenannya.

 

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek turut menggunakan wang berkenaan untuk membuat pembelian di tempat lain termasuk pasar malam atau pasaraya,” katanya.

 

Katanya, mana-mana individu yang mencurigai ketulenan wang kertas yang diterima diminta tampil membuat pengesahan di bank sebelum membuat laporan polis. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.