Chong Wei Dedah, Ramai Pemain Akan Tinggalkan BAM

Kuala Lumpur – Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei semalam membuat pendedahan mengejut apabila mendakwa, ramai pemain kini menunggu masa untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

 

Pendedahan itu dibuat hanya sehari selepas skuad kebangsaan dikejutkan dengan tindakan beregu senior, Hoon Thien How dan Lim Khim Wah meninggalkan BAM atas alasan tidak boleh pergi jauh jika terus bernaung bersama badan badminton negara itu.

 

Malah, Chong Wei sendiri menga­kui, dia mungkin turut mengambil kepu­­tusan drastik un­tuk berhenti bermain badminton jika tahap kesabarannya sudah sampai kemun­cak ekoran isu doping yang tidak berkesudahan sehingga hari ini.

 

“Bagi saya, mugkin banyak pemain mahu keluar dari BAM kerana…saya rasa mungkin (di­sebabkan) pentadbiran (BAM) ada masalah. Saya rasa, ramai orang tahu.

 

“Pertama (dalam tahun ini) Yang Li Lian (perseorangan wanita) kemudian Thien How dan Khim Wah (bertindak keluar dari BAM).

 

“Saya rasa ada pemain lagi beratur yang mungkin mahu beri surat untuk berhenti. Saya cuma de­ngar…saya tak tahu,” katanya selepas menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

 

Chong Wei, 33, mengakui, dia kini masih boleh bersabar de­ngan penangguhan perbicaraan isu do­ping yang membelenggu dirinya dan sedia untuk memikirkan haluan sebaik saja perbicaraan selesai.

 

“Saya tidak tahu (tarikh) perbicaraan, terserah kepada keputusan BAM dan Ins­titut Sukan Negara (ISN). Saya pun tak dapat maklumat (penangguhan) ini lagi. Saya tidak boleh buat apa-apa, cuma tunggu saja.

 

“Saya ikut saja (arahan BAM dan ISN) dan bersabar. Tengoklah, saya boleh sabar sampai bila…kalau saya tidak dapat bersabar, saya akan buat keputusan untuk berhenti.

 

“Saya buat keputusan untuk sabar sehingga dapat menghabiskan perbicaraan dan tengok keputusan macam mana, kemudian saya akan buat keputusan,” kata Chong Wei

 

Sehingga kini, sudah tiga kali perbicaraan melibatkan pemain No. 2 dunia itu tertangguh.

 

Perbicaraan pertama dijadual di Ams­terdam, Belanda pada 8 Di­sember lalu, namun ditunda atas permintaan peguam pemain tersebut, Mike Morgan kepada 12 Januari tahun ini, sebelum sekali lagi ditunda ke tarikh baharu. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.