Bapa Minta Polis Tangkap Anak, Curi Baja Untuk Beli Dadah

Miri –  Berang dengan perbuatan anak mencuri lapan guni baja, seorang bapa menghubungi polis meminta remaja itu ditangkap dalam kejadian di rumah panjang Sungai Lingu, Sibuti, di sini, kelmarin.

 

Remaja berusia 17 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Pusat Miri kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin, selepas bapanya berusia 60-an melaporkan kejadian itu.

 

Difahamkan, suspek mencuri lapan guni baja kelapa sawit sebelum menjualnya dengan harga RM10 seguni kepada seorang pemilik ladang di kawasan berhampiran.

 

Sumber berkata, kejadian disedari bapanya kira-kira jam 9 pagi selepas mendapati baja yang disimpan di bawah rumah hilang manakala kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux miliknya tiada di parkir.

 

Menurutnya, curiga sesuatu tidak kena, mangsa bertanyakan kehilangan baja kepada ahli keluarganya namun semuanya tidak mengetahui perkara itu.

 

“Dua jam kemudian anaknya pulang dengan memandu kenderaan terbabit lalu bapanya cuba mendapatkan penjelasan.

 

“Selepas didesak, dia mengaku mencuri baja berkenaan dan menjualnya kepada seorang pemilik ladang di kawasan berkenaan dengan harga keseluruhan RM80,” katanya di sini, semalam.

 

Menurutnya, mangsa yang berang membuat laporan di Balai Polis Bekenu.

 

“Siasatan awal tidak menolak kemungkinan suspek terdesak mendapatkan wang bagi membeli dadah kerana terjebak dengan penagihan sejak Disember lalu,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

 

Katanya, suspek direman tiga hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.