Sultan Muhammad V Raja Berjiwa Rakyat

KUALA LUMPUR: Tempoh dua tahun memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V meninggalkan kesan di hati rakyat sebagai raja berjiwa rakyat, berhemah, rendah diri dan pandai berjenaka.

Sultan Muhammad V, yang diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan, dilantik sebagai Sultan Kelantan pada 13 September 2010.

Sejak ditabal sebagai pemerintah negeri itu, baginda sering memasuki kampung di setiap jajahan untuk mendekati rakyat terutama ketika bencana seperti banjir. Kehadiran baginda tanpa protokol ketat ada kalanya tidak disedari oleh rakyat bahawa yang membantu mereka itu adalah seorang raja.

Gelagat baginda itu berterusan walaupun setelah bergelar Yang di-Pertuan Agong XV malah beberapa tindakan baginda yang spontan semasa menjalankan tugas rasmi seperti titah baginda “sila duduk jangan lari” menjadi ungkapan dan ingatan popular dalam kalangan rakyat.

Sultan Muhammad V, yang mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong XV pada 13 Disember 2016 dan ditabalkan pada 24 April 2017, merupakan ketua negara di bawah pentadbiran Barisan Nasional semasa pelantikanya dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur. Pada usia 16 tahun, baginda dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan dan seterusnya pada 24 Mei 2009, baginda dilantik Pemangku Raja Kelantan.

Peristiwa penting lain yang menjadi lipatan sejarah sewaktu pemerintahan baginda adalah berkenan menerima menghadap pewaris takhta Britain, Putera Charles dan isteri Camella di Istana Negara dan memperkenan rayuan pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Ketua Umum PKR yang diberikan pembebasan serta-merta.

Selain itu, Sultan Muhammad V turut meminati dan memberi perhatian kepada bidang pendidikan malah sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baginda akan berangkat bercemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti berkenaan.

Dalam bidang ketenteraan, sifat kepimpinan baginda sentiasa dikagumi hinggakan dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Artileri Diraja selain bergelar Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Baginda turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan keselamatan, ketenteraan selain meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda, ekuestrian, meminati sukan memanah, menembak dan gemar memelihara hidupan liar. – BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.