Nelayan, Petani Perlu Ubah Cara Hidup, Tak Boleh Bergantung Dengan Kerajaan – Tun M

MARANG – Golongan nelayan dan petani mesti sanggup berubah meninggalkan cara hidup lama dengan mengamalkan pendekatan lebih moden bagi membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pendekatan itu perlu memandangkan sejak dahulu lagi golongan tersebut seringkali dikaitkan dengan status kemiskinan dan hidup menderita kerana terlalu banyak bergantung kepada bantuan kerajaan.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, sudah sampai masanya petani dan nelayan perlu berani untuk bersaing dan sanggup mengubah cara hidup dengan menceburi bidang baharu seperti perniagaan dan industri berasaskan hasil produk tempatan yang ada di sekeliling mereka.

Malah katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang mencari kaedah terbaik bagi membantu menaik taraf kehidupan golongan berkenaan supaya mereka tidak lagi terus berada dalam belenggu kemiskinan.

“Istilah golongan petani dan nelayan miskin itu perlu dikikis dan ditukar dengan syarat mereka sanggup berubah untuk menukar cara hidup lama kepada pendekatan lebih moden. Jika mereka masih kekal apa yang dilakukan nenek moyang kita sebelum ini sedangkan jumlah penduduk dunia semakin bertambah dan permintaan semakin banyak, selagi itulah kehidupan mereka tidak akan berubah.

“Saya tidak percaya melalui bantuan kerajaan akan dapat membantu mengubah kehidupan mereka, sebaliknya apa yang lebih baik ialah melalui usaha mereka sendiri,” katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika berucap dalam majlis Ramah Mesra Warga Tani Terengganu melibatkan 600 orang petani, peladang, penternak dan nelayan di negeri ini yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), di sini petang tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sallehuddin Ayob.

Menurut Perdana Menteri, selaras dengan aspek industri di bawah kementerian pertanian, golongan tersebut mesti berusaha untuk meningkatkan pendapatan masing-masing ke arah perubahan skala yang lebih besar.

“Dengan itu, para petani boleh mengambil pendekatan menggabungkan ladang kecil mereka dengan pengusaha ladang lebih besar selain melakukan tanaman sampingan di kawasan tanah masing-masing,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!