Lepas Dikecam, Khalid Samad Janji Bincang Dengan PPj Kadar Sewa Kuarters Penjawat Awam

SHAH ALAM – Selepas menerima kecaman, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad memberi jaminan akan merujuk dan membincangkan kenaikan kadar sewa kuarters penjawat awam di Presint 11 bersama dengan Perbadanan Putrajaya (PPj).

“Saya berjanji akan merujuk dan membincangkan perkara ini dengan PPj agar mendapat penyelesaian terbaik untuk semua,” katanya menerusi Twitter.

Beliau juga memaklumkan menerima kunjungan daripada Wakil Penduduk Blok F & G Pangsapuri Putra Damai Presint 11 berkenaan isu tersebut.

Terdahulu, Perbadanan Putrajaya (PPj) dilaporkan menaikkan kadar sewaan bulanan bagi kuarters Blok F dan G Presint 11 antara RM600 hingga RM800 sebulan mulai Januari ini, berbanding kadar sewaan sebelum ini iaitu antara RM400 hingga RM500 sebulan.

Alasan kenaikan sewa baharu itu dikatakan berpunca dari kos penyelenggaraan dan pembaikian kuarters yang dikatakan semakin meningkat dari tahun ke tahun dan sewaan tidak pernah dinaikkan sejak 2007.

Menerusi notis, ia turut menyatakan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan PPj diberitahu, kadar sewa hasil nilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kuala Lumpur dan kadar sewaan bagi kawasan sekitar juga mengalami peningkatan.

Perkembangan itu mengundang kritikan daripada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan kenaikan berganda itu amat tidak patut.

Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil pula meminta Pakatan Harapan (PH) memberi penjelasan adakah kenaikan itu disebabkan kerajaan kekurangan wang akibat ketirisan pelaksanaan cukai SST. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!