Kurikulum Sekolah Tumpu Aspek Agama Islam, Bahasa Inggeris & Sains Dan Teknologi

KUALA NERUS: Kerajaan akan mengubah kurikulum di sekolah dengan memberi tumpuan kepada tiga aspek penting iaitu penguasaan terhadap ajaran Islam sebenar, bahasa Inggeris serta ilmu Sains dan Teknologi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata objektif dasar pendidikan negara bukan hanya memberi ilmu kepada anak-anak sebaliknya, turut membentuk peribadi lebih baik kepada setiap warganegara.

Justeru, beliau berkata, kerajaan dan warga pendidik perlu memberi tumpuan kepada ajaran agama berkenaan dengan nilai-nilai hidup yang patut dipegang oleh orang Islam.

“Dalam soal agama, kita dapati ramai antara kita yang boleh hafal al-Quran tapi tidak ramai yang faham isi kandungannya sedangkan al-Quran itu adalah panduan utama kepada umat Islam tetapi hanya dengan hafal tanpa mengetahui isi kandungannya tidak akan memberi panduan kepada kita.

“Hari ini, walaupun kita lihat orang Islam begitu kuat pegangan mereka kepada agama, tidak tinggal solat, puasa, bayar zakat, kerjakan haji dan lain-lain lagi tetapi ajaran Islam yang terdapat dalam al-Quran tidak difahami dan dipatuhi,” katanya.

Justeru, Dr Mahathir berharap semua warga pendidik akan ambil perhatian terhadap hasrat kerajaan untuk mengubah kurikulum di sekolah supaya memberi tumpuan kepada penguasaan ajaran Islam sebenar, bahasa Inggeris serta Sains dan Teknologi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 880 hadirin dalam Majlis Ambil Cakna bersama Warga Pendidik Terengganu di Hotel dan Pusat Konvensyen Tabung Haji di sini, hari ini.

Hadir sama, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah serta Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Dalam masa sama, Dr Mahathir turut meminta supaya isu penguasaan bahasa Inggeris tidak dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak semata-mata untuk menidakkan penguasaan ilmu, sekali gus mahu warga pendidik memberi keutamaan terhadap dasar kerajaan itu.

“Penguasaan terhadap bahasa Inggeris tidak menjadikan kita bukan Melayu, India atau Cina tetapi hanyalah untuk menguasai ilmu yang ada pada mereka (Barat) dengan menguasai bahasa mereka.

“Selain itu, ilmu Sains dan Teknologi datang kepada kita dalam bahasa Inggeris iaitu dari Barat, oleh sebab itu kita perlu kuasainya untuk mendapatkan ilmu itu supaya dapat memajukan negara dengan teknologi lebih canggih,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.