“Kita Bagi Royalti Pada Terengganu Bila Ada Duit”, Kata Tun M

MARANG – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan pimpinannya telah membuat keputusan untuk membayar baki royalti minyak kepada Terengganu.

Bagaimanapun katanya, ia akan disalurkan kemudian apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai sumber kewangan secukupnya.

Ujarnya juga, kerajaan juga tidak menyasarkan tempoh bagi pembayaran berkenaan.

“Kita dah buat keputusan akan bagi royalti sama di Terengganu yang akan dibayar bila ada duit,” katanya kepada media selepas Majlis Ramah Mesra bersama warga tani Terengganu di Dewan Majlis Daerah Marang di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Sebelum ini Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri Terengganu dijangka menerima baki berjumlah antara RM400 juta hingga RM500 juta.

Difahamkan setakat ini, kerajaan Terengganu menerima RM300 juta yang dibayar sebanyak dua kali iaitu pada Ogos dan awal Oktober.

Isu royalti minyak dan gas Terengganu terus menjadi perhatian ramai, apabila PH dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 baru-baru ini berjanji akan menyalurkan royalti sebanyak 20% kepada negeri pengeluar hasil bumi itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.