Harga KFC Mahal Kerana Kos Pengeluaran Meningkat

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini memberitahu kos pengeluaran yang meningkat menjadi penyebab harga menu restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) berubah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata perkara itu dimaklumkan oleh syarikat QSR Brands pada satu pertemuan, Jumaat lalu.

Katanya, kenaikan kos pengeluaran berlaku dari satu peringkat pengeluaran kepada peringkat yang lain. Ia juga berpunca daripada syarat yang ditetapkan untuk memegang lesen francais antarabangsa.

“Jelas mereka, ada beberapa syarat yang perlu mereka penuhi.

“Misalnya, bahan-bahan yang mereka gunakan. Dalam perjanjian francais, mereka disyaratkan membeli dari pembekal yang telah dinamakan,” katanya pada satu sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC KPDHEP), hari ini.

Majlis itu diadakan bagi meraikan 306 pegawai KPDNHEP yang menerima anugerah perkhidmatan cemerlang sepanjang 2018.

Mengulas lanjut, beliau berkata, meskipun terdapat pilihan daripada pembekal lain yang menawarkan harga yang lebih murah, syarikat iti tidak boleh mengubahnya kerana terikat dengan syarat dan perjanjian yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, syarikat itu tetap akan menghantar laporan bertulis kepada kementerian itu dari masa ke masa.

“Mereka beri kerjasama. Mereka ada tempoh masanya dan akan sampai kepada saya melalui bahagian penguatkuasan,” jelasnya.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai kenaikan harga 3 menu di KFC yang menyebabkan rakyat mengeluh dan menggesa kerajaan melakukan siasatan.

Dikatakan set “Snack Plate” yang sebelum ini berharga RM12.30 naik kepada RM15.30 manakala “Dinner Plate” dari RM15.60 kepada RM19.60. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.