Ahli dan Pemimpin DAP Johor Makin Biadab Selepas PH Menang PRU14, Kata Pemimpin PAS

KUALA LUMPUR – Sikap celupar dan biadab ahli politik Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dari Johor dilihat semakin ketara dan berleluasa mutakhir ini.

Menghina dan bersikap kurang ajar kepada raja seperti mainan mereka, terutama selepas menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Juwahir Amin berkata, sikap kurang ajar itu ditunjukkan oleh pemimpin DAP dari berjawatan di peringkat nasional mahupun cawangan.

Katanya, kebiadaban Ahli Majlis Daerah Pontian, Mohammad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah dari DAP terhadap Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memperlihatkan belang sebenar parti itu selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Kata beliau, tindakannya memperlekeh raja menunjukkan sikap angkuh melampau dan keterlaluan Ahli Majlis itu yang dilakukan secara terbuka di media sosial.

“Mengapa sejak pemerintahan PH pada PRU14 terjadinya perkara yang menggugat dan mengancam seperti ini. Apakah DAP dan rakan sekutunya sudah merasa cukup kuat dan kebal hingga berperangai sombong.

“Rasa tidak senang dalam kalangan rakyat akan kian melebar oleh sikap sebegitu dan sewajarnya dielakkan kerana ia boleh mengundang pertembungan dan permusuhan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

hinatmj

Beliau mengulas status Mohamad Kamarul Ariffin yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya baru-baru ini yang menghina Tunku Ismail berhubung Pulau Kukup.

Bagaimanapun Ahli Majlis itu memadamkan status itu selepas menerima kecaman daripada netizen yang menyifatnya sebagai penderhaka kepada raja.

Beliau juga dilaporkan memohon maaf kepada Tunku Ismail.

Menurut Juwahir, DAP patut mengambil iktibar dari isyarat ditunjukkan rakyat sebagaimana Himpunan Bantah ICERD bulan lalu.

“Kita menggesa DAP mengawal tindak tanduk dan tingkah laku serta tutur kata ahlinya, serta segera tampil menghadap permohonan ampun kepada Istana Johor dan maaf kepada rakyat.

“Institusi Istana sebagai antara tonggak tertinggi negeri harus dihormati dan berada dikedudukan sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!