Adakah Kenaikan Kadar Sewa Kuarters Penjawat Awam Disebabkan Ketirisan SST, Soal Isham Jalil

SHAH ALAM – Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil meminta kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi penjelasan mengenai kenaikan kadar sewa kuarters penjawat awam di Putrajaya yang dinaikkan hampir dua kali ganda.

Isham berkata, ini kerana alasan yang diberikan di atas kenaikan kadar sewaan itu iaitu bertujuan menampung kos selenggaraan, adalah amat meragukan.

“Saya dulu pernah duduk kuarters selama beberapa tahun. 

“Untuk makluman pemimpin Kerajaan PH yang membuat keputusan ini, semasa Kerajaan BN dahulu sewaan kuarters adalah kekal rendah bukan kerana kos selenggaraan yang murah.

“Namun kos selenggaraan kuarters ini sedikit sebanyak dibantu dan ditanggung oleh Kerajaan BN untuk meringankan kos sara hidup penjawat-penjawat awam terutama di gred sederhana dan rendah di kawasan bandar seperti di Putrajaya dan di bandar-bandar lain. 

“Ini adalah kerana gaji penjawat-penjawat awam ini bukanlah tinggi seperti pekerja swasta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak itu berkata, menteri yang bertanggungjawab perlu menjelaskan sama ada punca kenaikan kadar sewaan itu disebabkan kerajaan PH kekurangan wang akibat ketirisan pelaksanaan cukai SST.

“Saya mahu Menteri yang bertanggungjawab memberi penjelasan. Adakah hal kenaikan ini juga disebabkan kekurangan wang akibat ketirisan SST?

“Sekali lagi nampaknya yang untung ialah tauke-tauke bisnes yang lari dari cukai berbilion ringgit, yang rugi ialah semua orang lain, dan dalam kes ini penjawat awam pula yang kena,” ujarnya lagi. 

Terdahulu, Perbadanan Putrajaya (PPj) dilaporkan menaikkan kadar sewaan bulanan bagi kuarters Blok F dan G Presint 11 antara RM600 hingga RM800 sebulan mulai Januari ini, berbanding kadar sewaan sebelum ini iaitu antara RM400 hingga RM500 sebulan.

Alasan kenaikan sewa baharu itu dikatakan berpunca dari kos penyelenggaraan dan pembaikian kuarters yang dikatakan semakin meningkat dari tahun ke tahun dan sewaan tidak pernah dinaikkan sejak 2007.

Menerusi notis, ia turut menyatakan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan PPj diberitahu, kadar sewa hasil nilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kuala Lumpur dan kadar sewaan bagi kawasan sekitar juga mengalami peningkatan.

Mengulas lanjut, Isham berkata keputusan tersebut nyata memberi tekanan kepada penjawat awam yang rata-ratanya daripada gred rendah dan pertengahan.

“Jika dahulu penjawat-penjawat awam di sini hanya membayar RM400-RM500 untuk sewaan pangsapuri gred rendah dan sederhana, kini mereka terpaksa membayar hampir dua kali ganda sehingga RM700 ke RM800 sebulan.

“Kepada ramai orang, kenaikan RM400-RM500 sebulan ini adalah satu jumlah yang amat besar lebih-lebih lagi kepada penjawat awam gred rendah dan sederhana.

“Kini nasib penjawat awam semakin tertekan di bawah Kerajaan PH ini. Sudahlah kenaikan gaji dibatalkan, kos sewa kuarters pula dinaikkan dengan mendadak,” ujarnya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.