70 Saksi Mungkin Beri Keterangan Dalam Kes Najib & Irwan

KUALA LUMPUR: Pendakwaan dijangka memanggil kira-kira 70 saksi untuk memberi keterangan dalam kes pecah amanah dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, membabitkan wang RM6.6 bilion.

Pada prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin, berkata senarai saksi pendakwaan kesemuanya berjumlah seramai 138 orang.

Ketika diminta mengulas perkara itu selepas prosiding, Jamil memberitahu pemberita, sekurang-kurangnya hanya 70 saja daripada jumlah itu akan dipanggil memberikan keterangan.

Beliau berkata, ia adalah kerana saksi hanya dipanggil berdasarkan keadaan semasa dan sama ada terdapat keperluan memanggil setiap saksi yang disenaraikan.

Katanya, pihak pendakwaan juga memberikan aku janji kepada peguam bela untuk menyerahkan semua dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah pada 15 Februari ini.

“Sebanyak 70 peratus dokumen sudah diserahkan kepada pihak pembelaan… Bagaimanapun, kami memerlukan masa selama sebulan lebih untuk menyerahkan bakinya.

“Ini kerana dokumen terbabit ada yang masih diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi dan ia perlu dinyahklasifikasi terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menetapkan selama dua bulan bermula 8 Julai sehingga 22 Ogos ini (tidak termasuk hari Jumaat) bagi perbicaraan kes terbabit.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib kemudian memberitahu mahkamah, sementara menunggu penyerahan dokumen, pihaknya akan memfailkan permohonan supaya Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kes itu.

Muhammad Shafee berkata, ia adalah kerana hakim itu juga akan mendengar kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan Najib berhubung SRC International Sdn Bhd.

“Kedua-dua kes ini mempunyai kaitan… Kami akan meneliti hala tuju bagaimana yang arif akan prejudis jika mendengar kes ini.

“Kemungkinan saksi yang sama juga akan dipanggil memberikan keterangan dalam kedua-dua kes ini.

“Oleh itu kami akan memfailkan permohonan ini (supaya hakim menarik diri),” katanya.

Sementara itu peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Irwan Serigar, berkata pihaknya juga akan memfailkan permohonan sama.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Najib, 66, dan Irwan Serigar, 62, mengaku tidak bersalah terhadap enam tuduhan pecah amanah membabitkan dana Kerajaan Malaysia berjumlah lebih RM6.6 bilion.

Najib dan Irwan Serigar selaku penjawat awam iaitu masing-masing atas kapasiti Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, diamanahkan ke atas harta iaitu wang berjumlah antara RM220 juta dan RM1.3 bilion milik Kerajaan Malaysia, didakwa melakukan pecah amanah terhadap harta itu.

Keenam-enam tuduhan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya di antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.