Zarina Zainuddin Lebih Hati-Hati Selepas Insiden Dihalau

KUALA LUMPUR: Mengambil iktibar daripada insiden dihalau ketika menjual pulut kuning di Lumut, Perak pada 30 Disember lalu, Zarina Zainuddin mengakui, perlu lebih berhati-hati sebelum berniaga pada masa akan datang.

Pelakon berusia 48 tahun itu berkata, dia tidak menyangka kenyataannya yang dikongsi menerusi laman Instagram, baru-baru ini akan tular, namun enggan memanjangkan lagi isu itu kerana sudah melupakan apa yang berlaku.

“Saya sudah maafkan individu terbabit atas salah faham yang berlaku. Saya juga ingin meminta maaf kerana masuk tempat orang. Semua yang berlaku itu membuat saya perlu lebih berhati-hati untuk menjalankan perniagaan.

“Ketika kejadian, saya pulang ke kampung untuk menghadiri kenduri sepupu. Saya turut membawa bersama pulut kuning yang ditempah pelanggan. Saya singgah seketika untuk membeli ikan bilis yang dijual di situ.

“Kebetulan pelanggan yang berjanji belum sampai, saya tumpang duduk sekejap. Tiba-tiba datang sepasang suami isteri yang berniaga buah, marah-marah dan mengarahkan saya mengangkat pulut itu.

“Saya sudah lupakan hal yang lalu dan maafkan saya juga kerana datang tanpa diundang,” katanya.

Zarina berkata, dia tidak mahu memanjangkan lagi salah faham yang timbul kerana enggan menutup pintu rezeki mana-mana pihak.

Kelmarin, individu yang dikenali sebagai Ishak Osman yang didakwa menghalau dan menengking Zarina, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Facebook Komuniti Seri Manjung FOC.

Ishak yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Perak Cawangan Lumut menjelaskan, dia tidak berniat untuk berbuat demikian, sebaliknya hanya menjalankan tugas.

“Saya percaya insiden ini sengaja diperbesarkan seolah-olah saya yang bersalah. Sebagai peniaga kecil, saya tidak berniat menutup periuk nasi dia.

“Saya memohon maaf sekali lagi. Sebagai manusia saya juga tidak lari daripada melakukan kesilapan,” katanya dalam kenyataan itu.-BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.