‘Umno Tak Mainkan Politik Kebencian’

Negara memerlukan pemimpin yang berpolitik dengan baik dengan menjaga hak serta kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa atau agama dan bukannya politik kebencian, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata politik kebencian yang diamalkan oleh pihak pembangkang tidak mencerminkan nilai murni dan norma yang baik untuk masyarakat.

Beliau berkata sebagai sebuah kerajaan, Barisan Nasional (BN) tidak menjanjikan ‘bulan dan bintang’ dan berusaha semampu mungkin untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dan mengutamakan kepentingan negara.

“Contohnya pada 1 Jan lepas, kerajaan telah mansuhkan kutipan tol di empat buah plaza tol, melaksanakan Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50), memberikan bantuan kepada nelayan, pekebun kecil dan bantuan persekolahan. Ini tidak termasuk bantuan pendidikan percuma.

“Insya-Allah kerajaan akan terus lakukan perkara ini sebab negara diurus dengan baik. Sebut sahaja tentang keselamatan, hubungan antara kaum, memperjuangkan syiar Islam, kebajikan rakyat, ekonomi negara… Alhamdulillah semuanya bertambah baik begitu juga dengan prasarana untuk rakyat akan terus dilaksanakan.

“Seluruh Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah (telah dan) akan berubah wajah kerana di bawah Umno, inilah yang kita lakukan, kita (pemimpin Umno dan BN) bukan orang yang tabur janji atau mainkan politik kebencian, mengata, mengumpat dan kutuk negara dengan kata-kata kesat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan kepada murid sekolah rendah kawasan Parlimen Pekan di Pahang, hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Tabung Haji yang juga Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada majlis itu, Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan turut menyampaikan sumbangan persekolahan berupa pakaian, beg dan kasut sekolah bernilai RM180 bagi setiap seorang kepada 2,000 murid terpilih yang terdiri daripada pelajar daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu.

Kebajikan rakyat adalah keutamaan tertinggi dalam Umno dan BN tidak kira sama ada di bandar dan luar bandar, kata perdana menteri.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.