Nabila Belum Fikir Soal Cinta

BEBERAPA minggu lalu, satu Malaysia pernah tertipu dengan penyanyi cantik berbadan genit, Nabila Razali. Semuanya gara-gara kononnya dia menjalani episod putus cinta dengan pelakon Aedy Ashraf. Lebih menarik perhatian peminat dan netizen, kisah ‘cinta’ itu terkandas selepas kurang sebulan bibit kemesraan mereka ditonjolkan di laman sosial.

Bagaimanapun, semua itu sebenarnya hanyalah drama rekaan semata-mata sebagai gimik untuk video muzik single terbaharunya berjudul Pematah Hati.

Biarpun menerima pelbagai respons sama ada negatif mahu pun positif, ada beranggapan bahawa apa yang dilakukan penyanyi berusia 26 tahun itu merupakan satu teknik pemasaran yang boleh disifatkan berjaya.

Buktinya, dalam tempoh sebulan, video muzik single ketiganya yang trending dengan tagline #CumiCumi itu sudah mencecah lebih 11 juta tontonan di YouTube. Semestinya, angka itu sahaja boleh membuatkan Nabila mengukir senyuman. Mana tidaknya, jika dibandingkan dengan dua buah lagunya sebelum ini berjudul Cemburu dan Katakan Saja, penangannya memang tidak sehebat Pematah Hati.

“Tidak kisahlah apa orang ingin katakan mengenai gimik itu. Pada saya, sama ada sesuatu perkara itu dilakukan dengan cara baik atau buruk, ia masih tetap dianggap sebagai satu teknik pemasaran.

“Waktu mula-mula memang kasihan kepada Aedy yang banyak menerima kecaman. Bagaimanapun, dia okey sahaja kerana tahu situasi sebenar. Sekarang orang sudah lupakan hal rekaan cinta kami, sebaliknya sekarang timbul pula pelbagai ragam menerusi penghasilan parodi video muzik lagu saya itu,” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Tiada cinta

Bagaimana gambaran kisahnya dalam Pematah Hati, begitu jugalah sebenarnya diri Nabila sendiri. Mengakui pernah mempunyai pengalaman putus cinta sebelum ini, kata Nabila, buat masa ini hatinya masih belum terisi lagi.

Memandangkan namanya kini boleh dikatakan sedang berada di puncak, kata Nabila sebolehnya dia mahu memberikan tumpuan terhadap kerjaya seni yang diimpikannya selama ini.

“Buat masa ini, saya tidak ada teman lelaki istimewa. Lagipun, inilah masanya untuk saya capai apa yang saya inginkan dalam dunia nyanyian. Biarlah saya kejar cita-cita terlebih dahulu. Banyak lagi perkara lain yang perlu difikirkan sebelum sibuk nak bercinta,” seloroh penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 2013 itu.

Bagaimanapun, katanya, jika dia ditemukan jodoh pada usia sekarang dia tidak menolak. Bahkan dia menganggap itu semua sudah ketentuan daripada-Nya yang diterima dengan hati terbuka.

Jika dihitung usianya, dia sedar bahawa mungkin wanita seusianya ramai yang sudah mendirikan rumah tangga, namun itu tidak menjadi kayu pengukur buat Nabila.

Diusik adakah dirinya cuba didekati bekas teman lelaki yang pernah meninggalkannya suatu masa dahulu, Nabila melepaskan tawa.

“Tidak ada. Mana ada sampai dia cari saya semula,” jelas empunya nama sebenar Nur Nabila Mohd. Razali itu.

Jika benar suatu hari dirinya bertemu dengan insan yang bakal menjadi teman hidupnya, kata Nabila, sudah pasti dia akan berkongsi berita gembira itu bersama peminat.

“Ada bercinta lama tetapi tidak ada jodoh. Kalau ada pun (kekasih) rasanya tak perlu lama bercinta,” cerita penyanyi lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina daripada Universiti Sains Malaysia itu.

Pengajian tergendala

Barangkali ada yang tidak mengetahui bahawa Nabila sebenarnya sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana Seni Bina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. Bagaimanapun, kata Nabila, buat masa ini dia terpaksa melupakan seketika menghadiri kuliahnya.

“Saya sudah tidak boleh buat penangguhan lanjutan lagi kerana sudah cukup tempoh. Ada sahaja halangan yang membuatkan saya tidak dapat hadirkan diri ke kuliah. Jadi, selama ini saya sudah ambil penangguhan.

“Jika saya masuk semula ke kuliah pun, ada subjek yang perlu saya ulang semula kerana pernah buat tempoh penangguhan sebelum ini kerana ia memerlukan pembelajaran selama dua semester berturut-turut,” ceritanya yang memberitahu mempunyai baki tiga semester lagi.

Nabila menjelaskan bahawa jurusan seni bina yang diikuti tidak seperti kursus-kursus lain. Ini kerana, tiada pengajian separuh masa bagi pengajian dalam bidangnya itu.

“Saya perlu berikan komitmen sepenuhnya kepada pelajaran jika ingin habiskan pengajian peringkat sarjana. Agak susah untuk saya bahagikan masa antara nyanyian dan pelajaran serentak kerana seni bina perlu dilakukan secara sepenuh masa.

“Apapun, saya tidak berasa ralat sangat kerana sekurang-kurangnya, saya sudah memiliki ijazah. Lagipun, saya boleh sambung belajar semula pada bila-bila masa. Kalau sudah tua sekalipun boleh sambung belajar,” kongsinya yang juga pernah membintangi drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati.

Sudah dicop sebagai ratu gimik, kata Nabila, dia sebenarnya bimbang dengan perancangan jangka panjang dalam karier seni muziknya. Dia tidak menolak kemungkinan bahawa selepas ini gimik cintanya mungkin sudah tidak boleh ‘dijual’ lagi.

“Rasanya saya kena fikirkan cara lain untuk promosi lagu akan datang,” selorohnya.

Membuka lembaran 2018 dengan sambutan penerimaan yang baik menerusi lagu Pematah Hati, kata Nabila, cabaran besar digalasnya untuk mengekalkan momentum lagu tersebut yang juga merupakan karya ciptaan sahabat baiknya komposer dan penyanyi, Hael Husaini.

“Netizen siap namakan gaya sangkut jaket di bahu itu digelar gaya CumiCumi. Alhamdulillah, penerimaan yang kami terima menerusi lagu itu cukup baik daripada pelbagai lapisan umur,” katanya yang merancang untuk menghasilkan lagu duet pada masa akan datang.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.