Keluarga Nelayan Berterima Kasih Kerajaan Bantu Pembebasan Dari Tahanan Indonesia

SUNGAI BESAR – Keluarga Chia Kee Chan, 52, iaitu nelayan yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia sejak Februari 2016 melahirkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha pembebasannya.

Isteri nelayan itu, Yeo Su Hung, 45, berkata pembebasan itu disifatkan sebagai hadiah Tahun Baharu Cina yang bakal di sambut bulan depan selepas dua tahun beliau dan empat anaknya tidak meraikannya bersama Chia.

“Terima kasih Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Barisan Nasional,” katanya dalam sidang akhbar di rumahnya di Sekinchan di sini hari ini. Turut hadir Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.

Chia adalah antara enam nelayan warganegara Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu dan dijangka dibebaskan pada Khamis ini (11 Jan).

Ketika mengumumkan perkara itu Jumaat lepas, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata persetujuan untuk membebaskan kesemua nelayan dari kedua-dua negara yang ditahan atas kesalahan menceroboh perairan dicapai oleh Najib dan Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia pada November lepas.

Chia dan empat awak-awak ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia pada 17 Feb 2016 kerana menangkap ikan di kawasan perairan negara jiran itu.

Beliau dijatuhi hukuman penjara dua tahun empat bulan oleh mahkamah Indonesia atas kesalahan berkenaan dan sepatutnya dibebaskan pada Ogos depan.

Sementara itu, Budiman dalam sidang akhbar yang sama berkata beliau dan keluarga Chia telah pergi ke Penjara Labuhan Deli, Medan, Indonesia bulan lepas untuk melihat keadaan nelayan itu.

Beliau dalam pada itu menasihati nelayan untuk memasang alat Sistem Pemantauan Automatik (AIS) pada bot masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga jika ditahan pihak berkuasa Indonesia.

Katanya, dengan sistem itu kedudukan sebenar kapal boleh dijadikan bukti sekiranya ditahan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.