Ibu Tunggal Hidap HIV Resah Fikirkan 4 Anak

KOTA BHARU – Seorang ibu tunggal penghidap HIV resah memikirkan masa depan empat anaknya termasuk seorang yang kurang upaya.

Saleha, 48, (bukan nama sebenar) dari Kampung Baung, Pengkalan Chepa, dekat sini, disahkan menghidap HIV kira-kira lapan tahun lalu, selepas kematian suaminya.

Ibu tunggal itu yang mencari rezeki sebagai tukang jahit, berkata beliau hanya tahu menghidap penyakit berkenaan apabila berhasrat berkahwin lain pada 2012 dan membuat pemeriksaan darah.

“Pemeriksaan darah mengesahkan saya dijangkiti HIV. Hancur luluh hati menerima berita itu, hampir putus asa kerana memikirkan tidak lagi memiliki masa depan.

“Namun, mengenangkan empat anak termasuk sepasang kembar dan seorang daripada mereka yang bisu, saya cekalkan perasaan untuk meneruskan hidup seperti biasa.

“Sejak disahkan menghidap HIV, saya berulang alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan sebelum dikesan menghidap satu lagi penyakit berbahaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Katanya, beliau turut disahkan menghidap talasemia atau ketidakmampuan tubuh menghasilkan sel darah merah dan hemoglobin.

Nasib keluarga itu mendapat perhatian Ketua Penerangan Wanita UMNO Kelantan, Zarina Md Eusope yang berkunjung ke rumah ibu tunggal itu bersama Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Mohd Zailani Abd Rahman, hari ini.

Zarina berkata, beliau bersimpati dengan Saleha yang kesempitan hidup dan pada masa sama, terpaksa melawan penyakit dihidapinya.

“Sebagai pemimpin masyarakat, saya bertanggungjawab membantu wanita ini dan memastikan anaknya tidak keciciran sekolah. Kita juga akan mohon bantuan membaik pulih rumahnya supaya beliau dapat menjahit dengan lebih selesa,” katanya.

Zarina yang juga Ketua Wanita UMNO Pengkalan Chepa, berkata setakat ini, Saleha terpaksa melakukan kerja menjahit di luar rumah kerana tempat tinggalnya sempit.

“Kami akan memberi bantuan sewajarnya termasuk memastikan rawatan di hospital dapat diteruskan secara teratur selain membekalkan sebuah lagi mesin jahit serta bilik tambahan untuk kerja hariannya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.