Estranged Saman Wanita RM100,000

Kumpulan Estranged mengemukakan saman sebanyak RM100,000 terhadap seorang individu yang didakwa menipu berhubung persembahan Festival Rockfest di Denmark Street, London yang sepatutnya berlangsung pada 25 Disember lalu.

 

Saman difailkan ke atas seorang wanita berusia 35 tahun dikenali sebagai Eziana Abdul Aziz yang mendakwa dirinya pengurus publisiti Apple Inc. London dan juga bertindak selaku wakil penganjur festival berkenaan.

 

Memetik laporan Kosmo!, gitaris Solihuddin Hormat atau Din berkata, saman dikemukakan akibat menanggung kos kerugian ketika membuat persiapan untuk menyertai festival antarabangsa itu.

 

Selain Din, kumpulan ditubuhkan pada 2001 itu turut dianggotai oleh Richael Lawrence Gimbang (Rich) dan Nor Hanafi Noor Hadi (Hanafi).

 

Richael, vokalis yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah pernah menyertai Akademi Fantasia musim keempat.

 

Festival dianjurkan Apple Music itu mengumpulkan artis berkumpulan rock dari serata dunia untuk membuat persembahan.

 

 

Semua lagu yang dipersembahkan kemudian boleh dimuat turun oleh peminat muzik melalui aplikasi iTunes.

 

Lagu Estranged ‘Itu Kamu’ pernah dinobatkan sebagai lagu terbaik di Anugerah Juara Lagu 2007.

 

Selain itu, band berkenaan juga pernah memenangi anugerah lagu terbaik dan kumpulan paling popular di Anugerah Planet Muzik 2008.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.