Sudah Jumpa, Bincang Dengan Presiden MIC, Kata Dr Subramaniam

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata beliau sudah berjumpa dan berbincang dengan Presiden parti Datuk Seri G. Palanivel berhubung kemelut politik yang dihadapi parti itu.

 

Beliau yang bertemu dengan Palanivel selepas mesyuarat mingguan kabinet di Putrajaya, Rabu bagaimanapun enggan mengulas perkara yang dibincangkan, dan hanya berkata beliau yakin masalah dalaman parti dapat diselesaikan dengan segera.

 

Dr Subramaniam berkata pihaknya akan sentiasa bekerjasama bagi menyelesaikan masalah parti berikutan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya parti itu mengadakan pemilihan semula tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC).

 

“Kami berbincang agak lama dan apa yang kami bincang harus dirahsiakan demi kepentingan parti,” katanya kepada pemberita selepas Kempen Derma Darah bagi Mangsa Banjir Pantai Timur di ibu negara.

 

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan turut menyangkal dakwaan kononnya hubungan beliau dengan Palanivel rengang sejak kebelakangan ini akibat kemelut politik MIC.

 

Dr Subramaniam dalam satu kenyataan, Selasa, berkata beliau tidak tahu tentang perkembangan terkini dalam parti melibatkan komunikasi antara presiden parti dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), terutama mengenai kenyataan Palaivel pada 4 Jan yang beliau telah berjumpa dengan ROS pada 24 Dis lepas.

 

Ketika diminta mengulas tuduhan segelintir pihak yang mengaitkan isteri Palanivel, Datin Seri R. Kanagam dalam kemelut MIC, Dr Subramaniam berharap anggota MIC tidak melibatkan hal peribadi dalam masalah parti kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan.

 
Timbalan presiden MIC itu berkata anggota parti harus mengamalkan etika politik yang sihat.

 

Dr Subramaniam berkata masalah yang dihadapi MIC sekarang boleh diselesaikan dengan cara yang baik jika semua anggota parti bekerjasama antara satu sama lain.

 

Pada 5 Dis, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota CWC dalam tempoh 90 hari berikutan aduan mengenai penyalahgunaan kuasa dan perbuatan salah laku yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.

 

ROS juga meminta parti itu mengadakan pemilihan semula di lapan bahagian iaitu Bayan Baru, Bukit Gelugor, Subang, Bandar Baru Kulim, Taiping, Tambun, Sepang dan Jasin dalam tempoh 60 hari.

 

ROS mengarahkan juga supaya pemilihan semula diadakan dalam tempoh 30 hari bagi jawatan timbalan pengerusi Batu Kawan, pengerusi bahagian Kota Raja, pengerusi bahagian Tanjung Malim dan pengerusi cawangan Taman Koperasi Polis.

 

Dua cawangan iaitu Merlimau Utara dan Rumah Pangsa Pekeliling Selatan, diarahkan untuk mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 30 hari.

 

ROS menasihatkan MIC supaya tidak mengadakan perhimpunan agung tahunan sehingga isu itu diselesaikan.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.