SPAD tidak bercadang perkenal semula harga siling tambang bas sekolah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak bercadang memperkenalkan semula harga siling dalam menentukan tambang bas sekolah memandangkan kebanyakan pengusaha tidak pernah mematuhi harga yang ditetapkan sebelum ini.

 

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata perkara sama akan berulang sekiranya harga siling kembali diperkenalkan dan SPAD memberi kebebasan kepada pengusaha dan ibu bapa menentukan harganya.

 

“Ketika harga siling ditetapkan sebelum ini, ada pengusaha di bandar mahupun luar bandar yang berdegil dan menaikkan tambang melebihi 30 peratus daripada harga siling yang ditetapkan.

 

“Isu penetapan tambang bas sekolah tidak perlu timbul kerana SPAD sudah memberi kebebasan kepada ibu bapa, sekolah dan pengusaha menentukan tambang bas yang dikenakan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

 

Oktober lalu, peraturan penetapan harga siling tambang bas sekolah dihentikan dan kuasa penetapan diberikan kepada tiga pihak berkenaan dengan SPAD bertindak sebagai pemantau.

 

Mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat, SPAD sebagai pemantau boleh mengenakan beberapa tindakan seperti membatalkan lesen operasi sekiranya pengusaha bas menaikkan tambang bas secara melampau.

 

Mengulas lanjut, Syed Hamid menggesa ibu bapa memainkan peranan utama dan bertegas dalam menentukan tambang bas sekolah bagi memastikan pengusaha tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

 

“Saya juga menyeru kepada pengusaha bas sekolah untuk prihatin dan tidak menaikkan harga tambang sesuka hati, selain SPAD akan terus memantau perkembangannya,” katanya. -BHonline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.