Hujan Monsun Dijangka Bermula Esok Hingga Jumaat

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah pun mengeluarkan amaran bermula esok hingga hari Jumaat nanti akan berlaku hujan monsun yang mungkin menyebabkan berlakunya hujan lebat dan angin kencang serta ribut di negeri-negeri Pantai Timur, Johor serta Sabah.

 

Walaupun apa yang dinyatakan oleh MetMalaysia itu sekadar ramalan yang bersandarkan teknologi kaji cuaca yang belum tentu akan terjadi, namun tak salah untuk kita sama-samalah berdoa andainya benar ramalan cuaca itu mudah-mudahan hujan yang turun nanti tidaklah sebegitu lebat seperti sebelumnya.

 

Untuk rekod, banjir yang berlaku di Kelantan sebelum ini salah satu puncanya disebabkan hujan yang luar biasa lebatnya di sekitar Hulu Kelantan (Gua Musang & Kuala Krai) yang berterusan selama tiga hari dengan merekodkan taburan hujan sebanyak 1,295 milimeter yang bersamaan dengan taburan hujan untuk selama 64 hari berturut-turut.

 

Curahan hujan yang luar biasa lebat itu kemudiannya diburukkan lagi dengan keadaan beberapa kawasan hutan dan bukit-bukit di Hulu Kelantan yang gondol akibat aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah yang tak terkawal. Ditambah lagi dengan sampah sarap aktiviti pembalakan dan kayu balak yang menyekat aliran air sungai akhirnya menyebabkan air melimpah dan menderu laju membanjiri daratan.

 

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Satu lagi episod hujan monsun yang akan menyaksikan hujan beserta angin kencang dijangka berlaku bermula Rabu (7 Januari) hingga Jumaat (9 Januari) ini di beberapa negeri yang dilanda banjir sebelum ini.

 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini berkata, negeri yang terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan beberapa bahagian di Sabah iaitu di Pantai Barat, Kudat, Sandakan dan Tawau.

 

Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah, menurut jabatan itu.

 

Justeru MetMalaysia mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini.

 

Amaran angin kencang dan laut bergelora iaitu angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang dikeluarkan 4 Januari lepas juga akan berterusan sehingga Jumaat (9 Januari) ini.

 

Dalam tempoh itu juga orang ramai diinasihatkan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi atau sukan laut berikutan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot-bot kecil.

 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini cuaca melalui talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638, laman web www.met.gov.my atau laman sosial Facebook dan Twitter MetMalaysia. –BERNAMA / UTUSAN

 

Amaran Hujan Lebat Peringkat Kuning 07-09-01-2015

 

-mykmu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.