F1: GP Korea digugurkan dalam kalendar 2015

GAMBAR ketika perlumbaan GP Korea di Litar Yeongam pada 2011. – Foto www.f1-site.com

SEOUL: Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Korea yang diselubungi masalah kewangan sejak beberapa tahun digugurkan daripada kalendar perlumbaan berprestij itu tahun ini, umum pihak penganjur, hari ini.

 

Badan induk sukan permotoran dunia, FIA menggugurkan nama Litar Yeongam pada versi final jadual perlumbaan yang dipaparkan dalam laman web F1, semalam.

 

Pengguguran GP Korea bermakna hanya ada 20 pusingan perlumbaan musim ini.

 

“Kami sudah berulang kali memberitahu kedudukan kami kepada penganjur F1 yang kami tidak dapat kembali menganjurkan perlumbaan tahun ini,” kata seorang pegawai GP Korea kepada AFP.

 

GP Korea diadakan di selatan negara itu di Yeongam bermula pada tahun 2010 dengan kontrak sehingga 2016 selain pilihan pembaharuan kontrak selama lima tahun.

 

Begitupun, kerugian tinggi yang terhasil dianggarkan 190 billion won (RM616 juta) sejak empat tahun lalu membawa kepada pengguguran edisi pada 2014.

 

“Kerana kekurangan sokongan kewangan daripada kerajaan pusat atau kerajaan negeri, kami tidak memiliki pilihan untuk menggugurkan perlumbaan pada tahun ini juga,” kata pegawai itu yang enggan namanya didedahkan.

 

“Korea Selatan memiliki kelompok peminat yang kecil dan ahli perniagaan tempatan tidak teruja untuk menaja perlumbaan bermotor,” katanya. – AFP/BHonline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.