Bendahari PAS P.Pinang Yang Disingkir, Iszuree Tidak Dilantik Ahli MPPP 2015

GEORGETOWN: Bendahari PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim tidak tersenarai dalam barisan baharu anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang diumumkan kerajaan negeri pimpinan DAP itu hari ini.

 

Bagi menggantikan Iszuree yang sebelum ini disingkir daripada semua jawatan Jawatankuasa Tetap MPPP, kerajaan negeri mengumumkan pelantikan Yang Dipertua PAS Tanjung Yacoob Omar.

 

Exco Kerajaan Tempatan, Kawalan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow ketika mengumumkan barisan baharu anggota majlis bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Dis tahun ini bagaimanapun tidak menyatakan sebab Iszuree tidak dilantik semula sebagai anggota majlis MPPP.

 

Turut hadir pada sidang akhbar mengumumkan pelantikan anggota majlis MPPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) itu ialah Ketua Menteri Lim Guan Eng.

 

Iszuree dilapor disingkir daripada semua jawatankuasa tetap MPPP berikutan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor Bahru yang mengkritik kerajaan negeri berhubung isu dasar perumahan.

 

Chow berkata, selain Iszuree, lima lagi anggota majlis MPPP sebelum ini juga tidak disambung perkhidmatan iaitu Tay Leong Seng, Mohd Hariszuan Jaharudin, Muhammad Sabri Md Osman, Aidi Akhbal Mohd Zainon dan Mohd Foaz Hamid.

 

“Enam muka baharu yang dilantik ialah Goh Choon Keong dan Syerleena Abdul Rashid daripada DAP, Felix Ooi Keat Hin (PKR), Yaacob (PAS) dan dua daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Sha’ari Md Salleh dan Mohamed Yusoff Mohamed Noor,” katanya.

 

Beliau berkata, senarai anggota baharu majlis iaitu 10 daripada DAP, lapan PKR, dua PAS dan empat NGO itu telah mendapat persetujuan daripada semua parti dalam Pakatan Rakyat.

 

Pada sidang akhbar itu, Chow turut mengumumkan senarai anggota majlis MPSP yang turut dibarisi enam muka baharu iaitu Siti Nur Shazreen Mohd Jilani, A. Tiagarajen, Zaini Awang, Amir Md Ghazali, Mohd Sharmizan Mohamad Nor dan Dahalan Fazil.

 

Anggota majlis MPSP sebelum ini yang tidak disambung perkhidmatan ialah S.M Chandrasekaran, Chong Pei Pei, Rezal Huzairi Md Zaki, Abdul Jalil Che Ros, Zulkiefly Saad dan Ahmad Kaswan Kasim, katanya.

 

Majlis angkat sumpah pelantikan anggota baharu bagi MPSP akan diadakan esok manakala untuk anggota majlis MPPP pada Khamis. – BERNAMA/OrangMuda.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.