Syed Saddiq Gesa Kerajaan Kaji Semula Sistem Potongan Pinjaman PTPTN
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula kaedah dan kadar terbaharu pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN).
Tambahnya, perkara itu akan dibawanya ke mesyuarat jemaah menteri esok setelah mengambil maklum rungutan-rungutan khususnya daripada anak-anak muda berhubung pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, semalam.
“Walaupun kita tahu hutang wajib dibayar tetapi kita mahukan pembayaran yang lebih adil khususnya kepada anak-anak muda yang selama ini membuat pembayaran (dengan baik), patuh kepada syarat dan membuat pembayaran menepati masa selepas mereka berunding dengan PTPTN,” katanya melalui satu video yang dimuat naik di laman Instagramnya hari ini.
Katanya, keadilan perlu diberikan kepada peminjam-peminjam terutamanya yang tidak pernah culas membuat pembayaran setiap bulan hasil kesepakatan dengan PTPTN selama ini.
Sebelum ini, PTPTN memberikan khidmat rundingan kepada para peminjam dan membenarkan mereka untuk mengatur jumlah dan had tempoh pembayaran mengikut persetujuan kedua-dua pihak.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan tentang keresahan pelbagai pihak khasnya pelajar berhubung kaedah baharu pembayaran balik pinjaman PTPTN.
“Saya akan kemukakan keresahan peminjam ini untuk pertimbangan menteri dan juga Pengerusi PTPTN,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Semalam PTPTN mengumumkan kaedah baru yang antara lain menyaksikan potongan gaji peminjam secara mandatori antara 2 peratus hingga 15 peratus.-SuaraTv