Susulan ‘Pertikaian’ Isu Ruang Udara Dan Sempadan Maritim, Malaysia Mahu Bincang Dengan Singapura

KUALA LUMPUR – Malaysia mencadangkan agar satu mesyuarat diadakan dengan Singapura untuk membincangkan ‘pertikaian’ berhubung isu ruang udara dan sempadan maritim yang belum selesai.

Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam membayangkan mesyuarat itu juga akan memaklumkan “contact” yang dibuat antara menteri pengangkutan dari kedua-dua negara untuk menyelesaikan isu Sistem Pendaratan Instrumen (ILS).

“Kerajaan Malaysia hari ini berkomunikasi dengan kerajaan Singapura mengenai dua nota bantahan melalui Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia. Nota pertama berhubung penyiaran tatacara ILS dan Prosedur Merapati ILS untuk Lapangan Terbang Seletar pada 1 Dis, 2018.

“Nota kedua, berkaitan isu penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Singapura, termasuk had pelabuhan Johor Bahru yang baru dan insiden berhubung dengannya baru-baru ini,” menurut kenyataan itu.

Isu-isu itu dibangkitkan selepas Singapura menyiarkan tatacara ILS dan ILS Aeronautical Information Publication (AIP) pada 1 Disember tanpa persetujuan Malaysia.

Republik itu juga mendakwa Malaysia baru-baru ini dikatakan bertindak memperluaskan had pelabuhan Johor Bharu melalui cara menceroboh perairan wilayah Singapura sekitar Tuas.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut menegaskan had pelabuhan Johor Bharu yang baru berada dalam lingkungan perairan Malaysia, justeru memang wajar dalam konteks hak kerajaan Malaysia untuk menggariskan sebarang had pelabuhan dalam lingkungan perairan wilayahnya mengikut undang-undang negara Malaysia sendiri.

“Oleh itu, Kerajaan Malaysia menyangkal pandangan bahawa kapal-kapal kerajaan Malaysia telah menceroboh perairan wilayah Singapura di Tuas,” kata Wisma Putra.

Kenyataan juga menyebut Malaysia yakin kedua-dua negara mengakui dan menghargai hubungan dua hala yang baik dan kukuh kerana sentimen tersebut dizahirkan pada kali terakhir oleh perdana menteri kedua-dua negara semasa lawatan rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad ke Singapura pada November lalu.

“Atas sebab ini, adalah penting untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan dan memarakkan ketegangan,” kata kenyataan itu.

Semalam, SuaraTv melaporkan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan mendakwa Malaysia telah bertindak ‘melanggar kedaulatan’ wilayahnya apabila berhasrat memperluaskan had pelabuhan di Selat Johor.

Dalam satu kenyataan dari Kementerian Pengangkutan negara itu, Khaw berkata rancangan untuk memperluaskan had pelabuhan tersebut disifatkan sebagai menceroboh perairan wilayah Singapura.

Malah Khaw sendiri mengugut akan menggunakan angkatan bersenjata dari Angkatan Laut Singapura terhadap Malaysia jika pencerobohan itu berlaku. -SuaraTv 

Kredit gambar: Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.