Rafizi Tak Setuju Kaedah Potong Gaji Berjadual, Bertentangan Dengan Janji PH

SHAH ALAM – Mantan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mahu pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengkaji semula keputusan untuk melaksanakan Potongan Gaji Berkala (PGB) untuk mengutip hutang daripada para peminjam.

Menurut Rafizi, ini kerana kaedah tersebut dirasakan tidak adil terutama bagi peminjam yang terpaksa membayar pada kadar yang tinggi apabila peratusan potongan berkenaan tidak mengambilkira faktor-faktor lain yang menjadi komitmen seseorang peminjam. 

“Ia juga sangat bertentangan dengan janji PH untuk memastikan hanya mereka yang berpendapatan RM4,000 ke atas sahaja yang perlu membayar, sehingga pendapatan peminjam melebihi RM4,000,” kata Rafizi dalam satu kenyataan di Facebook beliau. 

Pemimpin PKR itu berkata, sungguhpun memahami keadaan aliran tunai PTPTN sekarang yang menyukarkan badan itu  untuk terus memberi pinjaman, namun ujarnya terdapat jalan lain yang boleh dipertimbangkan, termasuklah mengusahakan ‘bridging financing’ pada kadar yang rendah untuk memberi sedikit ‘masa bernafas’ kepada PTPTN. 

“Saya juga berharap PTPTN memberi tumpuan kepada program insentif untuk mempercepatkan pembayaran, bukan terlalu cenderung kepada kaedah pukul rata seperti ini,” katanya.

Rafizi juga berkata pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan menyuarakan pandangan mereka dan akan membawa perkara ini ke peringkat kerajaan. 

“Pandangan-pandangan seperti ini sudah tentu akan dibincangkan di kalangan menteri-menteri. Saya pasti mereka sedia maklum dengan pandangan rakyat biasa seperti kita.

“Saya galakkan untuk terus suarakan perkara ini supaya satu penyelesaian yang lebih baik dapat dicapai,” katanya lagi.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan semalam mengumumkan kaedah PGB itu akan dilaksanakan mengikut peratus potongan daripada gaji peminjam apabila gaji mencecah RM2,000 sebulan dan peratus potongan adalah di antara dua peratus hingga 15 peratus.

Dalam merealisasikan kaedah tersebut, Wan Saiful berkata PTPTN akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mendapatkan maklumat pendapatan dan butiran majikan peminjam.

Untuk rekod, PH dalam manifesto PRU14 yang lalu berjanji untuk menangguhkan pembayaran semula pinjaman PTPTN sehingga pendapatan bulanan para peminjam mencecah RM4,000. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.