PTPTN: Peminjam Berang, Dakwa Mekanisma Bayaran Baharu Bercanggah Kontrak

KUALA LUMPUR – Mekanisma baharu yang diwujudkan dan diwajibkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) di mana potongan wajib sebanyak 2-15% daripada gaji bulanan peminjam yang berpendapatan RM2,000 dan ke atas ternyata membuat peminjam-peminjam berang dengan langkah itu.

Menerusi laporan Free Malaysia Today, ramai yang meninggalkan komen dan aduan di laman Facebook PTPTN supaya ditimbangkan semula mekanisme pembayaran balik barunya yang mereka sifatkan sebagai tidak adil dan bercanggah dengan kontrak sedia ada.

Walaupun jumlah bayaran balik peminjam yang mendapat gaji RM2,000 sebulan hanyalah RM40, namun jumlah itu meningkat bagi mereka berpendapatan RM8,000 dan ke atas, yang terpaksa membayar 15% atau RM1,200 setiap bulan.

Ramai pengguna media sosial mempersoalkan kadar potongan baru itu yang menurut mereka bermakna pertambahan beberapa ratus peratus dalam jumlah yang terpaksa dibayar.

“Tinggal di bandar dengan kos hidup yang tinggi sudah cukup membebankan,” kata Julia Ong.

“Apakah anda mendiskriminasi golongan M40 dan secara membuta tuli memberi keistimewaan kepada kelompok B40? Bagaimana dengan kami, kelas menengah? Kami menderita dalam senyap”.

Dalam pada itu, Mohd Fahshah berkata, beliau kecewa dengan mekanisme baru itu kerana beliau tidak pernah terlepas membayar balik pinjaman, tetapi sekarang terpaksa membayar lebih 300% pinjaman tersebut, di samping komitmen lain seperti ansuran rumah, kereta, insurans dan kos membiayai keluarga.

“Potongan itu tidak adil,” katanya.

Daniel Ho bertanya sama ada terma baru itu terpakai ke atas pinjaman semasa PTPTN.

“Jika benar, maka ia melampau,” katanya.

“Kami menandatangani kontrak dan sekarang PTPTN bertindak bertentangan dengan kontraknya sendiri.

“Daripada membayar RM200 sebulan sekarang, kepada RM1,200 bermula Jan tahun depan. Kebanyakan peminjam PTPTN adalah ibu-bapa dengan anak-anak yang masih kecil,” katanya, dengan menambah adalah sukar untuk mengubah suai perbelanjaan dalam masa sebulan.

Ng Weng Chin menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, supaya mengkaji semula mekanisme bayaran balik baru itu, dengan berkata, ia membebankan kumpulan M40. – Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.