Pemuda UMNO, PAS berganding kawal himpunan ICERD Sabtu Ini

SHAH ALAM – Kira-kira 5,000 anggota dari Pergerakan Pemuda UMNO dan Jabatan Amal PAS akan bergandingan dan bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran dan keamanan sepanjang program Himpunan Ummah di Dataran Merdeka, Sabtu ini, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu dalam masa yang sama menyeru agar seluruh rakyat Malaysia berhimpun dengan aman dan tidak mencetuskan sebarang unsur-unsur perkauman mahupun menyentuh sensitiviti mana-mana agama.

“Pemuda UMNO akan memastikan sebarang bentuk provokasi samaada melalui perbuatan, poster, placard, laungan dan sorakan yang menyentuh isu-isu perkauman dan agama yang dilakukan oleh mana-mana individu akan segera diserahkan kepada pihak berkuasa. 

“Pemuda UMNO juga mengharapkan kerjasama semua pihak agar mengambil gambar individu-individu yang tidak bertanggungjawab dan diserahkan kepada pihak keselamatan di samping sentiasa menjaga disiplin termasuk kebersihan dengan membawa beg-beg plastik hitam untuk membersihkan segala sampah sarap yang didapati sepanjang berarak dan berhimpun di Dataran Merdeka nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan bahawa himpunan berkenaan adalah solidariti rakyat yang bukan sahaja menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bahkan membantah apa jua bentuk usaha untuk meruntuhkan keharmonian pelbagai agama dan kaum di negara ini.

“Justeru Pemuda UMNO menyeru seluruh rakyat Malaysia bersolidariti dengan berpakaian putih selama sehari dan mengibarkan bendera Malaysia sebagai tanda kecintaan kepada keamanan dan keharmonian pelbagai agama dan kaum,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan memberi lampu hijau bersabit penganjuran himpunan bantah ratifikasi ICERD, di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kebenaran tersebut dibuat hasil mesyuarat bersama agensi kerajaan dan PDRM, yang meyakini perhimpunan itu bakal diadakan secara aman.

Himpunan itu dijangka disertai ratusan ribu peserta dari seluruh negara, dan bakal menjadikan ia himpunan gergasi tanpa mengira fahaman politik. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.