Kerajaan Tidak Lagi Izinkan Pembesaran Ladang Kelapa Sawit

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak lagi akan membenarkan pembesaran ladang kelapa sawit baharu di negara ini, demikian menurut Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas mendapat persetujuan daripada semua kerajaan negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Tiada lagi pembesaran ladang kelapa sawit baharu di Sabah dan Sarawak. Kerajaan negeri itu tidak akan mengeluarkan lesen baharu bagi tujuan berkenaan.

“Di Semenanjung juga sebelum ini, saya telah mengadakan pertemuan dengan Majlis Tanah Negara, Menteri Besar, Ketua Menteri (wakil kerajaan negeri) bagi membangkitkan isu berkenaan.

“Setakat ini mereka tidak membantah dan saya menganggap ia mendapat persetujuan bersama,” katanya pada sidang media selepas Forum Minyak Kelapa Sawit Lestari Disahkan (CSPO), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, kerajaan tetap dengan pendirian untuk memastikan pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari 2020.

“Malaysia perlu bersedia untuk melaksanakan pensijilan itu bagi memastikan pertumbuhan industri terus kekal berdaya saing di pasaran global.

“Sudah banyak negara yang sudah mengambil berat mengenai MSPO dan kita harus bersedia. Tidak timbul soal negara mana yang mementingkan pensijilan atau mengenai harga kelapa sawit kerana apa yang penting adalah pertumbuhan industri pada masa depan,” katanya.

Kok berkata, jika pekebun dan pengeluar tidak memiliki sijil berkenaan ia akan menghalang penerimaan jualan komoditi itu dalam pasaran dan ia sangat merugikan.

Kementerian itu kini bersama agensi berkaitan berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pensijilan itu terutama dalam kalangan pekebun kecil.

Menerusi pensijilan berkenaan, ia akan membolehkan pekebun kecil, yang menyumbang kira-kira 40 peratus kepada pengeluaran minyak sawit negara, menaik taraf standard tanaman dan sekali gus meningkatkan kadar penembusan pasaran mereka.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, daripada 5.8 juta hektar kawasan perladangan kelapa sawit, sejuta hektar telah disahkan MSPO dan kementerian itu menjangkakan angka berkenaan meningkat sekali ganda dalam tempoh terdekat. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.