Kerajaan Malaysia Goyah, Guna Isu Dengan Singapura Untuk Momokan Politik – Bekas Diplomat

KUALA LUMPUR – Bekas diplomat Singapura, Bilahari Kausikan berkata, republik itu “digunakan sebagai momok” susulan ketidaktentuan politik yang wujud di Malaysia selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Beliau, yang pernah berkhidmat sebagai “duta besar berkuasa penuh” (ambassador at large) dan setiausaha tetap di Kementerian Luar Singapura itu dalam satu catatan di Facebook berkata, “tidaklah memeranjatkan apabila pelbagai isu 2 hala” muncul semula selepas berlakunya pertukaran kerajaan.

“Kerajaan gabungan baru ini pada dasarnya tidak stabil dan disatukan oleh individu berumur 93 tahun. Ketidaktentuan politik di Malaysia menyebabkan Singapura digunakan sebagai momok untuk menyatukan kesemuanya.

“Kita harap doktor itu terus sihat dan panjang umur: keadaan boleh menjadi lebih buruk tanpanya,” kata beliau.

Kausikan, yang sebelum ini pernah disifatkan sebagai diplomat Singapura yang “kurang diplomatik”, menyebut beberapa masalah dalam hubungan 2 negara, seperti isu air, ruang udara dan pencerobohan sempadan maritim.

Beliau merujuk kepada kemunculan semula pertikaian lama mengenai harga jualan air kepada Singapura. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyebut, harga itu sepatutnya dinaikkan 10 kali ganda, tetapi Singapura berkata, kedua-dua negara perlu mematuhi Perjanjian Air 1962.

Kedua-dua pihak bagaimanapun bersetuju membincangkan perkara itu.

Okt lepas, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian membangkitkan semula kemungkinan meneruskan pembinaan “jambatan bengkok” bagi menggantikan Tambak Johor, yang sebelum ini dimulakan oleh Dr Mahathir pada 2000. Singapura bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Dua hari lepas, Malaysia menyuarakan kebimbangan bahawa Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) baru di Lapangan Terbang Seletar menceroboh ruang udara Pasir Gudang. Menteri pengangkutan kedua-dua negara kini berhubung antara satu dengan lain dalam isu tersebut.

Semalam, Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan menghubungi rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah dan menggesa Putrajaya supaya “menghentikan pencerobohan” beberapa vesel negara ini ke dalam perairan republik itu.

Balakrishnan membangkitkan isu berhubung “cadangan peluasan” had sempadan pelabuhan Johor Bahru, yang menurut beliau mencerobohi perairan Singapura berhampiran Tuas.

Felo penyelidik di Institut Iseas-Yusof Ishak, Mustafa Izzuddin yang dipetik Today Online bersetuju dengan Kausikan.

Katanya, pertikaian terbaru mengisyaratkan hubungan 2 hala di bawah pentadbiran Dr Mahathir tidak akan lancar seperti yang wujud semasa pemerintahan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Ribut diplomatik memang dijangka. Ia juga menunjukkan Singapura akan terus dijadikan momok sekiranya berlaku keresahan domestik di Malaysia,” katanya menurut laporan itu.

Laporan itu juga memetik penganalisis politik, Bilveer Singh dari National University Singapura (NUS) yang berkata, sejak sekian lama Singapura dijadikan sasaran “melepaskan geram” pemimpin Malaysia apabila mereka berhadapan tekanan domestik, dan keadaan itu tidak jauh berbeza dengan suasana yang berlaku sekarang. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.