Isu Kuil: Penasihat Undang-undang, Pengarah Pembangunan MCT Berhad Dibebas

SUBANG JAYA: Penasihat undang-undang dan pengarah pembangunan kepada syarikat MCT Berhad yang ditahan petang semalam sudah dibebaskan dengan jaminan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata kedua-dua mereka ditahan kira-kira jam 4.45 petang semalam bagi membantu siasatan kes rusuhan di Kuil Maha Mariamman, Usj 25, dekat sini, minggu lalu.

“Dua tangkapan, masing-masing seorang penasihat undang-undang dan seorang pengarah pembangunan kepada MCT Berhad yang ditahan berkaitan kes rusuhan di kuil dibebaskan dengan jamin.

“Jamin dibenarkan Majistret dengan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah sebanyak RM10,000, tanpa cagaran,” katanya dalam satu kenyataan pagi hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua individu berkenaan akan hadir semula ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 12 Disember depan untuk keputusan selanjutnya.

Syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City), anak syarikat MCT Berhad, sebelum ini menafikan pihaknya memberi upah kepada sekumpulan samseng untuk melakukan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman.

Menerusi satu kenyataan pada 28 November lalu, syarikat pemaju itu berkata, kakitangannya yang ditempatkan di lokasi berkenaan diarahkan untuk memberi sokongan logistik dan membantu untuk penempatan semula secara teratur di bawah pengawasan pihak polis.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sidang media khas di Putrajaya menjelaskan siasatan polis mendapati peguam kepada pemaju One City memberi upah RM150,000 kepada 50 lelaki untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil berkenaan.

Muhyiddin dilaporkan berkata, dua peguam terbabit adalah antara 21 orang yang sudah ditahan polis bagi membantu siasatan insiden rusuhan itu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.