Ahmad Faizal Nafi Kerap Berada Di KL dan Gagal Jalankan Tugas MB Perak

IPOH – “Katalah apa pun, saya tetap akan terus menjalankan tugas saya seperti yang diamanahkan.”

Itu reaksi Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai dakwaan kononnya beliau tidak menjalankan tugasnya dengan baik sebagai pemimpin negeri.

Katanya, fakta dan rekod selama membuktikan segala dakwaan yang dilemparkan terhadap beliau itu adalah tidak adil.

“Ini merupakan perkara yang subjektif, kata (dakwaan) saya tak buat mesyuarat Exco, setiap minggu saya perlu mengadap Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak untuk membentangkan segala perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco dan keputusan dibuat. Bagaimana saya nak mengadap (Jemaah Pemangku) kalau tak buat mesyuarat Exco?

“Kemudian, ada yang mengatakan saya lebih banyak di Kuala Lumpur berbanding di Perak, saya ingat mungkin saya kurang melepak di kedai-kedai, orang tak nampak tapi sebenarnya saya lebih banyak berada di Ipoh,” katanya pada satu sidang media di sini.

Faizal berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan pihak-pihak tertentu kononnya beliau tidak menjalankan tugas dengan baik sejak dilantik sebagai Menteri Besar.

Tambah Ahmad Faizal, dakwaan yang mengatakan beliau sering ‘ponteng’ dari menghadiri program-program yang dianjurkan juga adalah tidak tepat.

“Sebenarnya saya telah mendapat terlalu banyak jemputan (majlis-majlis) dan jadual harian saya terlalu padat dengan tugasan rasmi, sehingga saya terpaksa menghantar exco-exco sebagai wakil saya.

“Sedangkan lazimnya penganjur telah pun diberitahu lebih awal bahawa saya tidak dapat menyertai program berkenaan kerana ada urusan atau program lebih penting.

“Tetapi untuk majlis-majlis yang saya tidak dapat hadir, kebanyakan penganjur meminta untuk saya menghantar wakil dan gambar saya tertera di kain rentang, jadi mungkin itu menyebabkan timbul cakap-cakap yang saya tak selalu berada di sini,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata beliau terima kritikan tersebut ia merupakan asam garam dalam berpolitik.

Tambah beliau, ia tidak akan mematahkan semangat beliau untuk terus menjalankan tugasnya selaku Menteri Besar dan memberi fokus untuk membangunkan negeri.

“Kata lah apa-apa pun janji kerja kita (kerajaan negeri) berjalan, kami semua termasuk barisan Exco kekal fokus dengan tugas yang diamanahkan,” katanya lagi. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.