VIDEO: Asal Usul Perkataan Melayu Diambil Dari Al-Quran, Kata Seorang Ustaz

SHAH ALAM – Seorang penceramah agama, Ustaz Ahmad Husam Datuk Baderudin mendakwa perkataan asal usul perkataan ‘Melayu’ diambil daripada satu ayat di dalam Al-Quran.

Menerusi satu klip video yang tersebar di media sosial, penceramah itu berkata, ia bermula apabila pemerintah Kesultanan Kedah, Sultan Mudzaffar Shah memeluk Islam bersama rakyat baginda.

“Perkataan Melayu ini diambil daripada satu perkataan ayat Al-Quran yang berbunyi ‘Malaa Ul A’alaa’ yang kemudian ditukar kepada ‘Melayu’.

“Ketika zaman Kesultanan Melayu Kedah yang antara yang tertua di tanah melayu ini, ketika mana Sultan Muzaffar Syah memeluk Islam dan rakyat baginda yang memeluk Islam ini, mereka ini diberi gelaran ‘Ma La Uu’.

“Perkataan ini akhirnya bila sampai ke selatan Thai, ditukar kepada ‘Melayu’,” kata beliau. 

Penceramah yang terkenal dengan kelantangannya itu turut menegaskan, asal usul tersebut secara tidak langsung memberi gambaran wujudnya perkaitan antara Melayu Islam dan kepentingan untuk bersepakat.

“Bila sebut Melayu, secara automatiknya Islam dalam konteks di Malaysia ni. Bila seruan Melayu sepakat, maknanya kita nak ajak umat Islam bersepakat. 

“Tolak perbezaan politik, tolak perbezaan macam-macam, kita bersepakat di atas satu wadah iaitu memperjuangkan Melayu Islam. Bila Melayu bersepakat, InsyaAllah Islam akan berdaulat,” katanya lagi.

Klip video itu muncul beberapa hari sebelum himpunan gergasi yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Himpunan pada Sabtu ini adalah bagi menyuarakan penolakan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sekaligus turut menyatakan kesyukuran dengan keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasinya.

Penganjur,  Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berkata himpunan itu bukan sekadar berkaitan ICERD tetapi sebagai penyatuan Melayu dan Islam. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.