Mahkamah Tetapkan 34 Hari Bicara Kes Rasuah Lim Guan Eng

GEORGETOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini, menetapkan perbicaraan kes rasuah Ketua Menteri, Lim Guan Eng, akan berlangsung selama 34 hari bermula 27 Mac 2017.

 

Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail, menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memohon tarikh tambahan bagi penyerahan 13 lagi muka surat dokumen pendakwaan.

 

Guan Eng berhadapan tuduhan membeli banglo pada harga rendah dari pasaran daripada ahli perniagaan, Phang Li Koon yang turut berhadapan tuduhan rasuah di mahkamah sama.

 

Terdahulu, Hadhariah menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh penyerahan semua dokumen oleh pihak pendakwaan.

 

Beliau kemudian menetapkan tarikh bermula pada 27 Mac – 31 Mac, 10 April – 14 April, 24 April – 28 April, 15 Mei – 19 Mei, 29 Mei – 2 Jun, 13 Jun – 16 Jun dan 17 Julai – 21 Julai tahun depan sebagai perbicaraan kedua-dua kes rasuah Guan Eng.

 

Pasukan pendakwaan hari ini diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud manakala Guan Eng diwakili peguam, Gobind Singh Deo.

 

Bagaimanapun, Guan Eng dan Li Koon tidak hadir ke Mahkamah Tinggi, hari ini untuk mendengar pengurusan dua kes rasuah berkenaan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.