Dr. Mahathir Didesak Mohon Maaf

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Pahang mendesak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didesak memohon maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini kerana menggunakan Nabi Muhammad SAW sebagai bahan jenaka ketika menghadiri Persidangan Kebangsaan DAP pada Ahad lalu.

 
Ketua Pemudanya, Mohd. Shahar Abdullah menyifatkan tindakan Dr. Mahathir itu sebagai sesuatu yang sangat dangkal dan diibaratkan menggadai agama Islam demi kepenting­an politiknya.

 
Menurut beliau, demi meraih tepukan serta sorakan daripada ahli-ahli DAP dan memburukkan pemimpin Islam lain termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr. Mahathir sanggup menggunakan nabi sebagai bahan jenaka.

 
“Itulah senario yang kita akan lihat sekiranya Dr. Mahathir dan sekutunya kini mengambil alih tampuk kepemimpinan negara, di mana Islam, tokoh-tokoh Islam akan dijadikan bahan gelak ketawa, hiburan mereka.

 

 
“Pemuda UMNO Pahang mendesak Dr. Mahathir memohon maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini. Perkara ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan dalam usaha kita memastikan kedaulatan agama Islam tidak dicemari,” jelas beliau.

 
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula berkata, Dr. Mahathir telah berjaya mencipta falsafah politik baharu iaitu “Mahathirian” yang bersifat sifar prinsip.

 
Katanya, perkara itu berikutan tindakan terbaharu Dr. Mahathir yang sanggup menghadiri Persidangan Kebangsaan DAP dan memuji kepemimpinan parti berkenaan sedangkan selama 22 tahun mentadbir negara, DAP merupakan sasaran kecaman beliau.

 
Beliau turut menyifatkan falsafah berke­naan jauh lebih rosak berbanding etika politik longgar adab dan akal budi, Machiavellian.

 
Reezal Merican pada masa sama mencabar kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditunjangi Dr. Mahathir se­bagai pengerusinya membuat ikrar ker­jasama politik bersama DAP de­ngan segera, sementelah kedua­nya saling ‘memuji’ sejak akhir-akhir ini.

 
“Tidak menjadi sa­tu kejutan apabila Dr. Mahathir sudah boleh menjulang ta­ngan Lim Kit Siang (Penasihat DAP), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung yang belum disahkan jawatan) dan Dr. Chen Man Hin (Pengasas DAP). Ini lambang ke­ter­desakan politik pa­ling tinggi.

 
“UMNO tidak perlu khuatir dengan gandingan ‘2M’ (Maha­thir-Man Hin) ini kerana sejarah membuktikan ‘2M’ tidak pernah menjadi. ‘Mahathir-Man Hin’ berat dengan dosa politik lampau, tidak ada generasi zaman ini yang boleh menghargai gandingan politik longgar tersebut, zaman mereka sudah jauh berlalu,” kata­nya dalam kenya­taan di sini hari ini.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.