TMJ Luah Rasa Sedih Dan Rindu Terhadap Tunku Jalil

Johor Bahru -Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak ketinggalan meluahkan rasa rindu dan sedih terhadap adindanya pulang ke rahmatullah semalam.

 

Menerusi laman Facebook pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail menyifatkan almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25 sebagai seorang insan yang berjiwa penyayang dan penuh dengan rasa rendah diri.

 

“Kepada adikku yang dikasihi… Dalam banyak malam yang berlalu, inilah malam yang paling sukar untuk saya. Kita semua amat sayang dan rindukan kamu.

 

“Kamu yang sentiasa membuatkan kita tersenyum. Kamu juga kekuatan dan inspirasiku. Kamu punyai satu sifat yang kita tiada; jiwa yang penyayang dan rendah diri” kata Tunku Ismail melalui laman Facebook tersebut.

 

Selain menyatakan kesedihannya, Tunku Ismail turut berjanji untuk mengunakan nama Tunku Jalil kepada bakal warisnya.

 

“Kita semua amat sayang dan rindukan kamu. Kamu yang sentiasa membuatkan kita tersenyum. Kamu juga kekuatan dan inspirasiku.

 

“Saya sayangkan kamu sepenuh hati dan sangat rindukan kamu. Kamu takkan dilupakan. Namamu akan dibawa oleh warisku. Senyumanmu adalah kekuatanku. Semoga Allah merahmatimu, adikku. Saya sentiasa sayangkan kamu,” tulis baginda lagi.

 

Almarhum Tunku Jalil mangkat pada pukul 7.11 malam semalam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bharu akibat kanser.

 

Bernama melaporkan, almarhum disahkan menghidapi kanser hati tahap empat sejak Disember tahun lepas dan pernah menjalani pemindahan hati di sebuah hospital pakar di Guangzhou, China.

 

Bagaimanapun, penyakit almarhum dilaporkan kembali menyerang sejak awal tahun ini.

 

Tunku Abdul Jalil adalah anak keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

 

Beliau dilahirkan di Johor Baru, Johor pada 5 Julai 1990 dan kemudian dinobatkan sebagai Tunku Laksamana Johor di Muar pada 2012 oleh ayahandanya, Sultan Ibrahim sempena sambutan ulang tahun kelahiran Sultan Johor itu.

 

Putera raja itu turut ditauliahkan sebagai inspektor polis dan memegang jawatan itu dalam Ketua Kakitangan Diraja Istana Johor pada Oktober tahun ini.

 

Beliau turut dikenali sebagai “Putera Rakyat” kerana pendekatan semula jadi dan mesra terhadap semua bangsa penduduk Johor.

 

Sebuah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor turut dinamakan sempena namanya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.