Setiausaha Agung PKR Tidak Layan Aduan Kami – PKR Cabang Sepang

PETALING JAY – PKR Cabang Sepang mempertahankan tindakan mereka membuat laporan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerana mendakwa Kongres Nasional PKR ke-14 baru-baru ini sebagai tidak sah.

 

Pengerusi Tetap PKR Cabang Sepang, Arffain Mohamed berkata, tindakan itu terpaksa dibuat selepas aduan kepada parti tidak diendahkan.

 

“Kami sudah buat dengan cara yang teratur. Saluran mana lagi kami boleh guna? Saya sudah hantar surat sebanyak dua kali sebelum kongres, malah pada hari terakhir kongres saya sekali lagi berjumpa Rafizi Ramli (Setiausaha Agung PKR) dan menyerahkan surat kepada beliau tetapi tidak diberi jawapan sehingga sekarang,” katanya kepada FMT.

 

Arffain mendakwa, dia khuatir Kongres PKR ke-14 itu menjadi tidak sah kerana telah dihadiri perwakilan daripada Cabang Sepang yang telah digantung selepas Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) dibatalkan pada 19 September lalu.

 

Jelasnya, mana-mana perwakilan yang tidak selesai mengadakan MATC tidak boleh menghadiri Kongres Nasional kerana perkara itu jelas bertentangan dengan Perlembagaan parti yang boleh menyebabkan kongres itu menjadi tidak sah.

 

Katanya, dia telah membatalkan MATC Sepang selepas cabang itu gagal membentangkan laporan kewangan tahunan 2014.

 

“Saya hantar surat pembatakan (MATC) kepada Rafizi Ramli pada 22 September,” katanya yang mengaku mempunyai gambar perwakilan Cabang Sepang) yang hadir kongres sebagai bukti.

 

Arffain berkata, PKR tidak mempunyai pilihan selain mengarahkan Cabang Sepang untuk mengadakan MATC sebelum laporan Kongres Nasional PKR 2015 diserahkan kepada RoS bagi mengelak kongres tersebut diistiharkan tidak sah.

 

“Langkah terbaik, Setiausaha Agung perlu mengeluarkan arahan supaya Cabang Sepang mengadakan semula mesyuarat agung atau pusat mengeluarkan nama perwakilan Cabang Sepang dalam minit kongres sebelum laporan dihantar kepada Ros.

 

“Jika PKR tidak mengambil langkah ini, kongres mungkin perlu diadakan semula. Jika kongres ini tidak diadakan semula maka parti PKR boleh diharamkan dan perlu bertanding sebagai parti bebas dalam PRU akan datang,” katanya.

 

Arffain juga membidas kenyataan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin yang mendakwa Cabang Sepang berniat jahat dan tidak mengikut saluran betul apabila membuat laporan kepada RoS.

 

Katanya, kenyataan Shamsul Iskandar itu sangat terdesak dan tidak membuat kajian secara mendalam usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Cabang PKR.

 

Sementara itu, bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang Sepang, Nasiruddin Mohamed berkata, tindakan PKR pusat tidak melayan aduan adalah bukti kepimpinan parti lebih mementingkan kuasa berbanding suara akar umbi.

 

“Apa guna kami membuat aduan kepada pejabat parti tetapi tidak diambil tindakan, lebih baik kita pergi kepada undang-undang iaitu melapor kepada RoS.

 

“Bantahan yang kami buat ini kebaikan parti kalau masalah kecil ini tidak boleh diselesaikan bagaimana kita nak merampas Putrajaya,

 

“Saya juga menyeru kepada semua pimpinan pusat PKR supaya sedar. Sebelum kita komen rumah tangga orang lain (parti lain), tengok dulu rumah tangga kita macam mana, lihat dan perbetulkan mengikut Perlembagaan parti,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.