PM Dan Isteri Ziarah Jenazah Tunku Abdul Jalil

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Istana Besar, di sini, untuk menziarahi jenazah Almarhum Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

 

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memasuki pintu gerbang Istana Besar pada pukul 1 tengah hari tadi.

 

Masa yang diperuntukkan kepada orang kenamaan memberi penghormatan bermula 11.30 pagi tadi hingga 12.30 tengah hari.

 

Jenazah Almarhum Tunku Abdul Jalil disembahyangkan di Istana Besar dan akan dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini, selepas waktu Zohor.

 

Jenazah Almarhum akan dibawa menggunakan pedati yang akan diarak kira-kira 30 Askar Timbalan Setia Johor melalui Jalan Ayer Molek terus ke makam berkenaan sepanjang tiga kilometer.

 

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda-anakanda baginda yang lain dijangka mengiringi jenazah Almarhum.

 

Tunku Abdul Jalil, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam tadi di Hospital Sultanah Aminah, di sini, akibat kanser.

 

Almarhum merupakan anakanda keempat Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.